Wednesday, 9 December 2015



Hati ini meronta penuh keluh kesah
Dalam dada yang sudah tiada damainya
Aku mencari punca
Apa yang tidak kena?

Lalu..
Ku bawa pergi hati ini,
Dari kesibukkan hutan batu
Ke lautan biru pantai menderu
Bersama angin bayu mendayu

Lalu..
Ku bawa pergi hati ini,
Dari kesedihan dan luka pilu
Menjengah ke jendela langit biru
Awan putih empuk bagai kekabu

Aku menemui Tuhan disebalik penciptaan
Indah ciptaan-Mu Tuhan
Memberikan daku ketenangan
Engkau bilang dengan ingat pada-Mu
Hati-hati menjadi tenteram

Lantas ku sedari..
Punca tidak keruan ini
Lalu ku bawa diri
Ku pikuli segunung dosa
Ke dataran pengampunan-Mu
Ku tangisi ku sesali
Ku janji tidak ulangi
walau sering dimungkiri

Tuhan
Pinjamkan ku sinar hidayah
Buat ku tempuhi zulmat malam
Ku bawakan keresahan
Ke lembah rahmat-Mu
Ku adu pada Mu
Ku sujud tangis sendu merayu-rayu
Agar terungkai segala gundah ku

Tuhan.. ku buru reda-Mu
Tuhan.. ku tagih cinta-Mu
Tuhan.. ku rayu pengampunan-Mu
Tuhan…ambil nyawaku dalam reda-Mu
Hapuslah resah tinggallah gelisah


MENCARI HALAWAH
9 DISEMBER 2015
10.13 P.M

Sunday, 17 May 2015

Asbabun Nuzul Ayat (Sebab-sebab turun ayat)

Al-Quran merupakan kitab suci yang merupakan panduan hidup bagi umat Islam dan keseluruhan manusia umumnya. Kalam Allah ini diwahyukan kepada junjungan besar kita nabi Muhammad ﷺ melalui perantaraan malaikat Jibril. Setiap ayat di dalam al-Quran mengandungi tauhid, suruhan, larangan, penetapan syariat, hikmah, pengajaran dan kisah-kisah para anbia serta umat-umat yang terdahulu. Walau bagaimanapun ada kalanya penurunan ayat-ayat al-Quran mempunyai sebab dan penyelesaian terhadap perkara-perkara yang berlaku khususnya pada zaman Rasulullah ﷺ.

          Bagi menambahkan pemahaman dan penghayatan kita terhadap al-Quran maka penulis akan menjalankan usaha penulisan mengenai sebab-sebab turun ayat al-Quran dengan berpandukan pada Kitab Lubabun Nuqul fi Asbabun Nuzul karangan al-Imam Jalaluddin al-Suyuti yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Asbab Nuzul Surah al-Baqarah ayat 14 hingga 16
“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang yang beriman, mereka mengatakan: “Kami telah beriman.” Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan: “Sesungguhnya kami bersama kamu, kami hanyalah berolok-olok”. Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan mereka. Mereka itu adalah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk,maka tidak beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk”
(Surah al-Baqarah ayat 14-16)

          Al-Wahidi dan ats-Tsa’labi meriwayatkan sebuah hadis daripada jalur periwayatan Muhammad bin Marwan dan as-Suddi as-Saghir daripada al-Kalbi daripada Abu Soleh daripada Ibnu ‘Abbas, dia berkata, “ayat ini diturunkan berkaitan dengan perilaku Abdullah bin Ubay (Ketua Munafiq) dan para pengikutnya. Pada suatu hari, mereka keluar. Di hadapan mereka terdapat beberapa orang sahabat Rasulullah ﷺ.

          Abdullah bin Ubay berkata, “lihatlah oleh kalian bagaimana cara aku menyingkirkan orang-orang bodoh itu daripada kalian!”. Lalu dia pun pergi, kemudian dia memegang tangan Abu Bakar seraya berkata, “Selamat datang wahai as-Siddiq, pemimpin Bani Taim, Syeikh al-Islam, orang kedua bersama Rasulullah di dalam gua, orang yang telah menyerahkan jiwa dan hartanya untuk baginda!”.

          Kemudian dia memegang tangan Umar, seraya berkata, “Selamat dating wahai pemimpin Bani ‘Adi bin Ka’ab, yang mendapat gelaran al-Faruq (pembeza antara haq dan batil), yang tangguh dalam menjunjung tinggi agama Allah, dan yang menyerahkan jiwa dan hartanya untuk Rasulullah!.” Kemudian dia memegang tangan Ali, seraya berkata, “selamat dating wahai sepupu Rasulullah, pemimpin Bani Hasyim di samping Rasulullah!.” Kemudian ketika mereka berpisah, Abdullah bin Ubay berkata kepada para pengikutnya, “kalian telah lihat apa yang aku lakukan tadi.” Mereka pun lantas memuji apa yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubay tadi. Kemudian kaum muslimin datang kepada Rasulullah ﷺ seraya menceritakan perkara ini. Maka turunlah ayat:
“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang yang beriman, mereka mengatakan: “Kami telah beriman.” Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan: “Sesungguhnya kami bersama kamu, kami hanyalah berolok-olok”.

Namun sanad hadis ini sangat lemah (dhaif jiddan) kerana as-Suddi as-Saghir adalah periwayat dusta.

Monday, 8 September 2014

Nas-nas Sifat Allah serta Pandangan Ulama Salaf Mengenainya

Pengenalan
Kitab suci al-Quran merupakan wahyu daripada Allah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail yang menjadi panduan kepada umat manusia. Kitab suci ini merupakan mukjizat terbesar Rasulullah SAW yang menjadi hujah menghadapi kaum musyrikin dan memberikan manfaat kepada kaum muslimin. Firman Allah maksudnya:

“(Al-Quran) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) yang mengandungi keberkatan (faedah dan manfaat) bagi mereka yang ingin tadabbur (memahami) isi kandungan ayat-ayat-Nya dan diambil iktibar oleh orang-orang yang berfikir” (Surah Saad 38:29)

            Secara umumnya Allah menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab dan dengan bahasa yang mudah difahami oleh manusia sama ada yang beriman ataupun yang kufur. Sehingga ke hari ini al-Quran dibaca dan dikaji isi kandungannya oleh umat Islam dan bukan Islam malah ada di antara mereka yang menganut Islam setelah mengkaji al-Quran. Firman Allah maksudnya:“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran,maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)” (Surah al-Qamar 54:17)
            Selain daripada al-Quran, hadis Rasulullah SAW juga merupakan sumber rujukan bagi umat Islam. Hadis boleh ditakrifkan sebagai: apa yang disandarkan kepada Rasulullah SAW, sama ada perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat tubuh, sifat akhlak, sama ada sebelum diutuskan, atau selepas diutuskan.
            Kedua-dua sumber ini iaitu al-Quran dan hadis merupakan rujukan utama umat Islam di seluruh dunia. Namun terdapat nas-nas al-Quran dan hadis yang menyebut tentang sifat-sifat Allah atau lebih dikenali sebagai ayat mutasyabihat. Dalam perbincangan nas-nas sifat ini ulama Islam terbahagi kepada dua aliran iaitu salaf dan khalaf. Walau bagaimanapun, tulisan ini akan memfokuskan pandangan ulama salaf dalam berinteraksi dengan nas-nas sifat ini.

Definisi Salaf
Perbincangan seterusnya akan cuba menjelaskan mengenai takrifan yang jelas mengenai perkataan salaf, sumber terbitnya perkataan tersebut dan seterusnya mengenal pasti identiti beberapa tokoh ulama salaf.
Perkataan salaf dari segi bahasa membawa makna generasi terdahulu yang unggul dalam ilmu, iman, keutamaan dan kebaikan. Perkataan salaf ini juga disebut oleh Rasulullah SAW melalui hadis-hadis baginda antaranya:
Sabda Rasulullah SAW kepada Fatimah, “Sesungguhnya sebaik-baik salaf bagimu adalah aku” (Riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis mutawatir, Rasulullah SAW telah memuji dan mengiktiraf tiga generasi yang terbaik iaitu:
“Sebaik-baik manusia ialah orang yang hidup pada masaku, kemudian mereka yang datang berikutnya, kemudian orang-orang sesudah mereka. Kemudian akan datang beberapa kaum yang persaksian salah seorang dari mereka mendahului sumpahnya,dan sumpahnya mendahului persaksiannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

            Secara umumnya melalui dua hadis di atas dapatlah kita ketahui bahawa Rasulullah SAW memuji generasi salaf yang terdiri daripada sebaik-baik manusia. Tidak dinafikan wujudnya manusia yang jahat dan menyeleweng pada zaman salaf seperti Syiah, Khawarij, golongan murtad, dan golongan munafik. Oleh yang demikian generasi salaf yang disebut oleh Rasulullah SAW digelar sebagai Salafussoleh yang bermaksud golongan salaf yang soleh.
            Zaman salaf bermula sejak zaman Rasulullah SAW dan dikatakan berakhir sekitar tahun 300 hijrah. Antara ulama yang hidup pada zaman tersebut ialah seluruh para sahabat Rasulullah SAW yang mengikuti jalan baginda, kemudian golongan tabi’in seperti Sa’id bin Al-Musayyab (wafat 90 H), Al-Hasan Al-Bashri (wafat 110 H), Umar bin Abdul Aziz (wafat 101 H), Muhammad bin Syihab Az-Zuhri (wafat 125 H), golongan tabi’ut tabi’in seperti Malik bin Anas (wafat 179 H), Abu Hanifah An-Nu’man (wafat 150 H), Imam Al Auza’i (wafat 157 H), Sufyan bin Uyainah (wafat 193 H), golongan atba’ tabi’ut tabi’in seperti Abdullah bin Al-Mubarak (wafat 181 H), Imam Syafi’i (wafat 204 H), Waki’ bin Al-Jarrah (wafat 197 H), murid-murid atba’ tabi’ut tabi’in seperti Ahmad bin Hambal (wafat 241 H), Yahya bin Ma’in (wafat 233 H), Ibnu Rahawaih (wafat 238 H), kemudian murid-murid mereka seperti Al-Bukhari (wafat 256 H), Muslim (wafat 271 H), Abu Dawud (wafat 275 H), At-Tirmidzi (wafat 279) dan selain mereka. Senarai nama ulama-ulama ini hanyalah sebahagian di antara ulama-ulama salaf yang lain dan mereka semua hidup sebelum tahun ke-300 hijrah.
            Zaman khalaf pula ialah zaman selepas berlalunya zaman salaf. Ulama khalaf ialah ulama yang terkemudian yang sudah jauh jangka waktunya dari zaman Rasulullah SAW dan oleh kerana itu sudah agak berlainan cara berfikir dalam soal-soal hidup keagamaan. Walau bagaimanapun terdapat ulama dan ilmuan yang hidup pada zaman khalaf tetapi mengikuti pendirian dan pemahaman ulama salaf terutamanya dalam berinteraksi dengan nas-nas sifat seperti Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Mereka yang mengikuti pendirian dan pemahaman ulama salaf ini digelar ulama bermanhaj salaf.

Pengertian Nas-Nas Sifat
Al-Quran dan al-hadis merupakan rujukan umat manusia dan wajib diimani oleh setiap individu muslim. Kedua-dua sumber tersebut mengandungi nas-nas yang membincangkan tauhid, hukum-hukum syariat, kisah-kisah terdahulu dan sebagainya. Selain itu terdapat juga nas-nas yang membincangkan mengenai sifat-sifat Allah. Nas-nas seperti ini juga dikenali sebagai ayat-ayat mutasyabihat. Firman Allah dalam surah Ali Imran maksudnya:

“Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.” (Surah ali-'Imraan 3:7)

            Nas-nas al-Quran dan hadis yang mensifatkan Allah seperti mempunyai tangan, wajah, betis, berperasaan gembira, sifat melihat, sifat mendengar, turun ke langit dunia, dan sebagainya merupakan nas-nas yang tidak jelas kerana seolah-olah Allah mempunyai sifat seperti makhluk. Namun Allah menegaskan dalam al-Quran bahawa Dia tidak serupa dengan sesuatu pun, firman-Nya yang bermaksud:

"Dia (Allah) tidak menyerupai sesuatupun..(Surah asy-Syuuraa 42:11)
"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". (Surah al-Ikhlas 112:4)

Berdasarkan dalil di atas maka nas-nas sifat ini tergolong dalam ayat-ayat mutasyabihat yang tidak jelas, samar, dan tidak dapat difahami secara zahir.

Contoh Nas-Nas Sifat Dalam Al-Quran Dan Hadis
Nas-nas sifat banyak disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Antaranya ialah:
Firman Allah maksudnya:
           “Ar-Rahman(Allah) yang bersemayam di atas Arasy.” (Surah Toha 20:5)
Firman Allah maksudnya:
“Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan tangan-tangan Kami lalu mereka memilikinya?” (Surah Yaasin 36:71)
Firman Allah maksudnya:
“Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa: Dan akan kekallah wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.” (Surah Taha 20:26-27)

Daripada Anas bin Malik r.a, daripada Rasulullah SAW, sabda baginda:
“Sentiasalah neraka Jahanam dicampakkan penghuni ke dalamnya, lalu neraka itu berkata: Adakah masih ada tambahan? Sehinggalah Allah meletakkan kaki-Nya ke dalam neraka, lalu sebahagian penghuninya berkumpul dengan sebahagian yang lain dan neraka berkata: Cukup-cukuplah demi kemuliaan dan keagungan Engkau dan sentiasalah terdapat tempat yang lebih di dalam syurga sehingga Allah mewujudkan untuknya satu makhluk lain untuk menghuni tempat yang lebih itu.”  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:
“Allah gembira dengan taubat yang dilakukan oleh salah seorang daripada kamu berbanding dengan kegembiraan salah seorang daripada kamu kerana menemui kembali binatangnya yang hilang.” (Muttafaqun alaih)

Pandangan Ulama Salaf Terhadap Nas-Nas Sifat
Menurut Syeikh al-Qaradawi, generasi para sahabat Rasulullah SAW tidak pernah membahaskan mengenai nas-nas sifat pada zaman mereka walaupun ada dalam kalangan mereka yang dikurniakan usia yang panjang dan hidup puluhan tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW seperti Anas bin Malik yang dilaporkan sahabat paling akhir meninggal dunia.
            Secara umumnya ulama pada zaman salaf bersikap dan memilih untuk tidak mentakwilkan ayat-ayat sifat yang terkandung dalam al-Quran dan hadis. Haji Abdul Hadi Awang menyatakan sikap ulama generasi salaf dalam menghadapi nas-nas sifat ini. Ulama salaf beriman terhadap nas-nas sifat yang menyebut tentang mata, tangan, muka, bersemayam dan lain-lain lafaz. Mereka menyerahkan maksudnya kepada Allah (tafwidh). Hal ini dapat dilihat ketika Imam Malik ditanya mengenai makna istawa (bersemayam) dalam surah toha ayat 5:
“Ar-Rahman(Allah) yang bersemayam di atas Arasy.”
Imam Malik menyatakan menyoal mengenai maknanya (istawa) adalah bid’ah. Beliau juga menyatakan:
“Jauhilah diri daripada terlibat dengan perkara bid’ah. Beliau ditanya: Wahai Abu Abdillah apa itu bid’ah?. Jawab beliau: Ahli bid’ah ialah orang-orang yang berbicara tentang nama-nama, sifat, kalam, ilmu dan qudrat Allah dan tidak mendiamkan diri daripada berbicara tentangnya sebagaimana didiamkan diri oleh para sahabat dan tabi’in.”

Ahli hadis zaman ini iaitu Syeikh al-Albani membawa riwayat Abu Abdullah Al Hakim dalam kitabnya Mukhtasar Al’Uluw li ‘Aliyyil Ghaffar yang menyebut perkataan Imam Al Auza’i (wafat 157 H):
“Ketika para tabi’in masih banyak, kami berkata, “Sesungguhnya Allah Maha Mulia dan Maha Agung di atas Arasy-Nya dan kami beriman pada apa yang ada dalam sunnah tentang sifat-sifat-Nya”
Diriwayatkan oleh Abu Ishaq ats-Tsalabi ahli tafsir, dia berkata:
“Ditanyakan kepada Al Auza’i tentang firman Allah, “Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy” (al-A’raaf 7:43) Beliau menjawab, “Dia di atas Arasy-Nya sebagaimana Dia menyifati Dzat-Nya.”

Imam Al-Auza’i ialah seorang ulama tabi’ut tabi’in, menerima hadits dari golongan tabi’in dan mengasaskan mazhabnya sendiri. Mazhabnya diikuti oleh penduduk Syam dan Maghribi pada ketika itu sebelum beralih kepada mazhab Malik. Berdasarkan riwayat di atas kita dapat mengetahui pandangan Imam Al-Auza’i mengenai nas-nas sifat Allah bersemayam di atas Arasy. Beliau mengambil pendekatan untuk beriman dan menyerahkan makna sebenar ayat tersebut kepada Allah tanpa mempersoalkan kaifiat (cara) bersemayam Allah di atas Arasy-Nya.
            Imam Abu Yusuf memetik perkataan daripada Imam Abu Hanifah (wafat 150 H) seorang tabi’n yang menjelaskan tidak wajar kepada seseorang mengatakan tentang sesuatu yang berkaitan dengan zat Allah tetapi hendaklah menyifatkannya berdasarkan sifat yang disifatkan oleh Allah sendiri terhadap diri-Nya dan tidak sesekali menggunakan akal fikiran sendiri dalam menghadapinya. Kebanyakkan ulama salaf tidak suka membincangkan nas-nas sifat. Mereka beriman dan menyerahkan makna sifat itu kepada Allah tanpa mempersoalkan keadaan zahir ayat tersebut. Al-Khalal melaporkan dengan sanad yang sahih, Imam Ahmad (wafat 241 H) pernah ditanya perihal nas-nas sifat tuhan, beliau menjawab:
“Kita beriman dan mempercayainya tetapi tidak dalam cara dan makna tertentu.”

Syeikh al-Albani membawa riwayat Imam Adz-Zahabi dengan rangkaian sanad dari Amru bin Wahab dari Syadad bin Hakim yang meriwayatkan dari seorang ahli fekah Iraq Muhammad bin Hassan (wafat 189 H):
“Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia(dan hadis lain yang serupa). Kemudian dia berkata, “Sesungguhnya hadis-hadis ini telah diriwayatkan oleh orang-orang yang tsiqah (dipercayai), maka kami meriwayatkannya dan beriman kepadanya serta tidak mentafsirkannya.
Diriwayatkan oleh Hibatullah Al-Lalaka’i dan Ibnu Qudamah dengan sanad dari Abdullah bin Abi Hanifah Ad-Dabusi, dia berkata, “aku mendengar Muhammad bin Hassan berkata,”
“Berkenaan dengan masalah sifat, para ahli fekah mulai dari timur hingga barat sepakat mengimani apa yang ada di dalam al-Quran dan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh orang-orang tsiqah dari Rasulullah SAW, tanpa penggambaran dan tanpa penyerupaan (tasybih).
            Seterusnya kita akan meneliti perkataan ulama salaf Waki’ bin Jarrah (wafat 197 H) dan pengasas salah satu mazhab ahli sunnah iaitu Imam as-Syafi’i (wafat 204 H) mengenai nas-nas sifat. Diriwayatkan oleh Ahmad Ad-Dauraqi berkata, “Aku mendengar Waki’ mengatakan,:
“Kami menerima hadis-hadis ini sebagaimana datangnya. Kami tidak mengatakan bagaimana, begitu juga tidak mengapa demikian. Di Antara hadis-hadis tersebut adalah seperti hadis “ Dia membawa langit dengan satu jari”, dan “Hati anak Adam di antara dua jari (dari jari-jari) Allah yang Maha Pengasih.”
Diriwayatkan oleh Abul Hasan Al Hikari dan Al Hafiz Abu Muhammad Al Maqdisi bahawa Imam as-Syafi’i berkata:
“Sunnah yang aku anut –seperti yang dianut oleh Sufyan, Malik dan selain keduanya- adalah pengakuan dengan syahadat bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan bahawasanya Muhammad adalah utusan Allah, dan sesungguhnya Allah di atas Arasy-Nya di langit-Nya. Dia dekat dengan makhluk-Nya sebagaimana Dia kehendaki, dan turun ke langit dunia sebagaimana Dia kehendaki..”
            Melalui perkataan-perkataan ulama salaf di atas kita mendapati bahawa mereka beriman kepada nas-nas sifat tanpa mempersoalkan secara mendalam dan menyerahkan makna dan kaifiatnya kepada Allah (tafwidh) dan tanpa menyerupakan Allah dengan makhluk (tasybih). Mereka juga tidak menafsir dan melakukan takwilan terhadap nas-nas sifat tersebut. Mereka juga tidak mengatakan bahawa nas-nas sifat seperti tangan, betis, mata dan lain-lain yang disandarkan kepada Allah sama seperti tangan, betis, dan mata yang ada pada makhluk.
            Walaupun majoriti ulama salaf tidak melakukan takwilan pada nas-nas sifat namun dalam kalangan salaf terdapat juga ulama yang melakukan takwilan sekalipun yang melakukan takwilan itu sedikit berbanding mereka yang melakukan tafwidh. Perkara ini dapat diperhatikan apabila Ibnu Abbas (wafat 68 H) melakukan takwilan terhadap ayat ini:
“Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu, tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakana itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurnia-Nya luas melimpah-limpah)..” (Surah al-Maidah:64)


Ibnu Abbas menyatakan orang-orang Yahudi tidak menyatakan tangan Allah terikat, tetapi mereka menyatakan Allah itu bakhil dan kedekut untuk mengeluarkan apa yang ada pada tangan-Nya. Maha suci Allah daripada mereka perkatakan. Menurut riwayat Ibnu Ishaq, al-Tabarani dan Ibnu Mardawih daripada Ibnu Abbas r.a, ayat di atas diturunkan kepada seorang lelaki Yahudi bernama al-Nabbay bin Qais yang berkata kepada Rasulullah SAW, kata Yahudi tersebut “Tuhan tuan bakhil dan tidak suka berbelanja.” Takwilan yang dilakukan oleh Ibnu Abbas r.a ini berlaku berdasarkan asbab nuzul (sebab-sebab turunnya) ayat al-Quran tersebut.
            Terdapat kesepakatan antara golongan salaf mahupun khalaf untuk melakukan takwilan pada sebahagian daripada nas-nas sifat yang perlu ditakwil secara baik melalui kaca mata akli mahupun naqli. Contoh ini dapat dilihat pada nas-nas seperti ini:
“…Mereka telah melupakan Allah dan Allah juga melupakan mereka..” (Surah at-Taubah 8:67)
“…dan tiadalah Tuhanmu itu lupa.(Surah Maryam 19:64)
Mereka mentakwilkan istilah lupa yang disandarkan kepada Allah dengan makna meninggalkan dan berpaling iaitu tidak menghiraukan. Sifat lupa merupakan sifat kekurangan yang wajib dibersihkan daripada disandarkan kepada Allah kerana Dia mempunyai segala kesempurnaan dan Maha Suci Allah daripada sifat-sifat kekurangan.

Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dalam tulisan ini dapatlah kita simpulkan bahawa majoriti ulama yang hidup pada zaman salaf lebih cenderung untuk tidak melakukan takwilan dalam berinteraksi dengan nas-nas sifat sebaliknya memilih untuk menyerahkan makna sebenar ayat sifat tersebut kepada Allah (tafwidh) tanpa membicarakan caranya secara mendalam. Mereka juga tidak pula menyamakan sifat Allah dengan makhluk (tasybih). Tidak dinafikan terdapat juga golongan salaf yang melakukan takwilan pada sesetengah nas yang bersifat kritikal dan memerlukan takwilan. Tindakan takwilan mereka adalah bertujuan untuk menyucikan Allah daripada segala sifat-sifat kekurangan dan kelemahan (tanzih).
            Kecenderungan untuk memilih pandangan ulama salaf dalam isu berhubung nas-nas sifat adalah berdasarkan tiga faktor utama. Faktor yang pertama ialah kekurangan akal manusia yang terbatas dalam memahami nas-nas sifat iaitu akal manusia tidak mampu mengenal hakikat sifat Allah dan zat-Nya. Faktor yang kedua ialah takwilan tidak selamat daripada kesalahan dan boleh mengubah maksud asal yang dikehendaki oleh Allah. Faktor yang terakhir ialah kesepakatan ulama salaf lebih selamat kerana kelebihan mereka yang disebut melalui hadis Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik manusia ialah orang yang hidup pada masaku, kemudian mereka yang datang berikutnya, kemudian orang-orang sesudah mereka. Kemudian akan datang beberapa kaum yang persaksian salah seorang dari mereka mendahului sumpahnya,dan sumpahnya mendahului persaksiannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
            Perbincangan mengenai nas-nas sifat haruslah didasari dengan ilmu dan adab sopan. Malangnya sesetengah pihak dan penuntut ilmu mudah mengkafirkan saudaranya sendiri hanya kerana perbezaan pendapat dalam isu nas-nas sifat ini. Perkara seperti ini perlulah dijauhi kerana ianya akan menyebabkan perpecahan dalam umat Islam. Kita seharusnya mencontohi ulama salaf yang tidak terlalu membahaskan nas-nas sifat dan berlepas diri daripadanya jika tiada keperluan. Wallahua’lam.

Bibliografi
Al-Quran Dan Terjemahan (Rasm Uthmani). Pustaka Darul Iman
Abdul Hadi Awang. 1992. Beriman Kepada Allah. Kuala Lumpur. GG Edar
Aboebakar Atjeh. 1970. Salaf (Salaf As-Shalih) Islam Dalam Masa Murni. Jakarta. Permata
Basri bin Ibrahim. 2011. Kupasan Mengenai Ayat-Ayat Dan Hadis Sifat, Wali, Menziarahi Kubur Dan Tawassul Oleh Al-Qardhawi. Selangor. Al-Hidayah Publication
Mohd Asri bin Zainul Abidin. 2005. Selangkah Ke Arah Memahami Al-Sunnah. Selangor. Karya Bestari
Muhammad Nashiruddin Al-Albani. 2002. Edisi Indonesia Mukhtasar Al-‘Uluw: Studi Tauhid Menurut Ahlus-Sunnah Wal Jamaah. Jakarta. Pustaka Azzam
Rabi bin Hadi Al-Madkhali, Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi’in Dan Tabiut Tabi’in Beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم,http://ahlulhadist.wordpress.com/: diakses pada 28/2/2014







Friday, 23 May 2014

Persoalan dan Jawapan

Beberapa hari lalu terdapat seorang rakan saya menanyakan soalan ini di sebuah laman sosial. Atas rasa bertanggungjawab saya cuba menjawab persoalan yang ditimbulkan. Berikut merupakan soalannya:

Ada sesiapa boleh tolong jawab soalan ini? Jzkk dan terima kasih in advance.
1) Kenapa perlu wujud agama? Kalau tiada agama, adakah kita tak boleh hidup seperti biasa?

2) Kita tak nampak tuhan itu, tapi kenapa kita percaya? Kenapa kita perlu percaya adanya hari kiamat? Kita diajar sembahyang, tapi sembahyang itu untuk apa? Tidak cukupkah moral menjaga diri kita?


3) Kenapa hidup kita perlu terikat dengan agama? Kalau agama itu betul, kenapa perlu ada banyak agama? Siapa yang betul di sini?


Jawapan:
1 
    Kenapa perlu wujud agama? Kalau tiada agama, adakah kita tak         boleh hidup seperti biasa?

Mengapa kita perlu beragama? Sebelum menjawab persoalan itu, saya ingin mengupas beberapa perkara yang lain terlebih dahulu. Setiap insan di muka bumi ini diciptakan oleh Allah mempunyai tujuan yang satu iaitu untuk mengabdikan diri beribadah hanya semata-mata kerana Allah. Firman Allah:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku..” (Surah Adz-Zariyyat ayat 56)

Beribadah kepada Allah umumnya mempunyai jenis iaitu ibadah umum dan ibadah khusus. Ibadah umum ialah segala jenis perbuatan yang dilakukan kerana Allah dan bertujuan untuk mendapat keredaannya contohnya kita bekerja mencari rezeki adalah untuk memberi nafkah kepada keluarga yang sememangnya disuruh Allah. Cara pelaksanaannya pula tidak bertentangan dengan syariat Islam seperti kita tidak merompak untuk mendapatkan harta. Ibadah seperti ini lebih berbentuk fardu kifayah dan muamalat seharian kita. Ibadah khusus pula ialah seperti solat, puasa, zakat, menunaikan haji dan sebagainya. Ibadah ini lebih bersifat dalaman dan kerohanian jiwa. Ibadah seperti ini lebih bersifat fardu ain dan perlu dilakukan ke atas setiap individu Islam.

Setelah kita mengetahui tujuan asal kita diciptakan maka persoalan tentang kepentingan agama akan terjawab. Kita perlu beragama kerana agamalah yang membentuk peraturan dan nilai-nilai manusia. Agama yang diredai oleh Allah ialah agama Islam. Mengapa Islam? Persoalan itu akan saya cuba jawab bagi soalan yang ketiga insya-Allah. Dasar utama dalam agama Islam ialah aqidah mentauhidkan Allah, kemudian disusuli pula dengan syariat. Seseorang itu tidak akan diterima solatnya, puasanya, sedekahnya serta amalan-amalan yang lain jika aqidahnya tidak beraqidahkan aqidah Islam.

Kita perlu beragama Islam kerana agama inilah yang membawa kita mengenal Tuhan serta sifat-sifat-Nya dan di dalam agama ini jugalah terkandung syariat yang mengajarkan kita mengenai peraturan-peraturan kehidupan (muamalat, jinayat, siyasah dan sebagainya) dan mengajar kita mengenai cara-cara beribadah khusus (solat,puasa, zakat dan lain-lain). Hal ini berkait rapat dengan tujuan kita diciptakan seperti mana telah dijelaskan tadi.

Apakah jika tiada agama kita tidak boleh hidup dengan berbekalkan nilai-nilai murni kemanusiaan? Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu mengenali sifat Islam itu sendiri. Islam ialah agama yang syumul. Islam yang syumul bermaksud ajaran Islam adalah sempurna dan lengkap, merangkumi semua aspek kehidupan tanpa pengecualian. Ini bermaksud Islam menyentuh bab ketuhanan, perkahwinan, jual beli, hutang piutang, mengenai perang, kebersihan, hubungan sesama manusia, akhlak dan adab, dan sebagainya. Contohnya Islam mendidik manusia menjaga alam, sabda nabi:

“Tidak ada seorang muslim yang menanam tanaman atau menyemai semaian lalu burung, atau insan atau binatang berkaki empat memakannya, melainkan untuknya (pahala) sedekah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Sesiapa yang memotong pokok bidara maka Allah akan rendahkan kepalanya di dalam neraka” (riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Menurut Dr. Mohd Asri dalam ruangan Minda Tajdid, amaran dan doa Nabi s.a.w. agar Allah mengambil tindakan kepada pemotong atau penebang pokok bidara kerana kerimbunan pokok tersebut menjadi tempat berteduh manusia dan haiwan. Maka perbuatan memusnahkannya tanpa sebab adalah suatu pengkhianatan terhadap manusia dan haiwan. Maka hukumannya adalah neraka.

Islam itu agama rahmat bagi manusia. Lihatlah ketika zaman jahiliah arab dahulu. Ketika itu bangsa arab amat mementingkan perkauman, zina berleluasa, perempuan diletakkan di kedudukan yang hina sehingga boleh diperlakukan sesuka hati dan tidak layak mewarisi harta pusaka, arak dijadikan kebanggaan dan pelbagai lagi nilai-nilai buruk yang ada dalam diri bangsa arab ketika itu. Dalam kegelapan jahiliah itu Allah mengutuskan seorang rasul dalam kalangan mereka sendiri iaitu nabi Muhammad S.A.W untuk membawa risalah agama Islam. Semangat assobiyyah perkauman digantikan dengan persaudaraan Islam, diharamkan zina dihalalkan pernikahan yang suci, martabat wanita diangkat tinggi dan layak mewarisi harta pusaka mengikut sistem faraid, arak diharamkan dan pelbagai nilai-nilai buruk yang terhapus dengan kedatangan Islam. Hal ini dapat kita lihat melalui ucapan Khalifah Umar al-Khattab R.A apabila ke Syams di atas jemputan oleh rakyat Baitul Maqdis untuk menjemput dia sendiri untuk membuka pintu Baitul Maqdis setelah Islam menaklukinya. Setelah tiba di Syams, orang ramai bertanyakan kepada Umar Al-Khattab,

"Wahai Amirul Mu'minun, mengapa kamu berpakaian begitu sederhana nanti penganut yang lain (Kristian) pandang serong pada Islam.” Umar menjawab, "Kita adalah satu golongan yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam maka sekiranya kita mencari kemuliaan selain dari Islam nescaya Allah akan menghina kita." Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Kata al-Imam Qatadah al-Sadusi (meninggal 118H) lebih seribu tiga ratus yang lalu kepada orang arab: “Dahulunya bangsa arab ini manusia yang paling hina, paling buruk kehidupannya, paling sesat, paling kurang pakaian dan paling lapar. Dicengkam antara dua singa; Parsi dan Rum.
Demi Allah! Tiada di tanahair arab apa yang memboleh orang lain iri hati kepada mereka. Sesiapa yang hidup di kalangan mereka, hidup dalam keburukan dan yang mati pula, binasa dan dibuang ke dalam api. Mereka dimakan, mereka tidak memakan.
Demi Allah! Kita tidak tahu adanya bangsa di bumi ini pada masa itu yang paling rendah dan lekeh daripada mereka. Sehinggalah Allah membawa Islam kepada kamu (wahai orang arab!). Allah bekalkan kepada kamu al-Quran, Dia membuka kepada kamu bumi jihad, Dia meluaskan untuk kamu rezeki, Dia jadikan kamu memerintah manusia.
Dengan Islamlah Allah berikan kepada kamu apa yang sedang kamu lihat. Bersyukurlah terhadap nikmat-nikmatNya kerana tuhan kamu pemberi nikmat yang sukakan mereka yang bersyukur. Mereka yang bersyukur pula sentiasa mendapat tambahan”. ( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari –tahziban- 2/349, Damsyik: Dar al-Qalam).

Ramai orang yang tidak menjadikan agama sebagai landasan kehidupannya akan menemui kelemahan dan kegagalan. Sistem pemikiran manusia tidak sempurna, lihatlah sistem kapitalisme yang menemui kegagalan ketika 1930 yang dicatat dalam lipatan sejarah yang dinamakan sebagai The Great Depression. Kemunculan marxisme yang menentang kapitalisme juga bukanlah penyelesaian tetapi sebaliknya turut mempunyai kelemahan dan kritikan. Sebaliknya Islam tidak melarang kita menjadi kaya, berniaga mengaut keuntungan dengan jalan yang halal tetapi Islam mewajibkan zakat, menggalakkan sedekah, hadiah, wakaf dan lain-lain. Semua adalah untuk merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin agar tiada penindasan yang berlaku, tiada perasaan iri hati antara manusia, sentiasa menyemai kasih saying sesama manusia dan pelbagai lagi hikmah sistem Islam.

Ramai orang ingin menjadi artis popular. Mereka menyangka dengan menjadi artis popular mereka akan bahagia, ada kekayaan, hidup senang dan sebagainya. Entah berapa ramai artis popular yang terlibat dengan dadah, membunuh diri, ketagihan dadah dan terjebak dalam nilai moral yang buruk kerana mereka tidak menemui keindahan agama. Hati mereka kosong tidak bertuhan. Akibatnya zahirnya kehidupan mereka dilihat sentiasa indah oleh peminat-peminat mereka tetapi hakikatnya mereka derita dan sengsara. Di sinilah kepentingan hidup beragama dan agama yang lurus hanyalah Islam.

Lihatlah keindahan Islam yang membawa cahaya menerangi kegelapan kaum arab jahiliah khususnya dan kepada manusia sejagat umumnya. Terdapat banyak lagi contoh-contoh keindahan dan kesyumulan Islam yang boleh kita bincangkan tetapi cukuplah sekadar ini sahaja perbincangan bagi soalan yang pertama.

Kita tak nampak tuhan itu, tapi kenapa kita percaya? Kenapa kita perlu percaya adanya hari kiamat? Kita diajar sembahyang, tapi sembahyang itu untuk apa? Tidak cukupkah moral menjaga diri kita?

Iman adalah suatu istilah yang mencakupi tiga unsur utama iaitu ikrar (ucapan) melalui lisan dan tasdiq (membenarkan) di dalam hati, serta amal (melaksanakan) dengan anggota badan. Secara umumnya iman ialah percaya. Keimanan kepada Allah merupakan salah satu asas Rukun Iman iaitu:
  • ·         Iman kepada Allah
  • ·         Iman kepada Malaikat
  • ·         Iman kepada Kitab-Kitab
  • ·         Iman kepada Rasul-Rasul
  • ·         Iman kepada Hari Akhirat
  • ·         Iman kepada Qada dan Qadar

Semua ini merupakan Rukun Iman yang harus dipercayai oleh setiap individu muslim. Tidak akan bergelar muslim sekiranya dia menolak salah satu daripada enam rukun iman ini.
            
         Iman kepada Allah bermaksud percaya dengan kewujudan Allah, mengiktiraf bahawa Allah sebagai Tuhan dan tidak mensyirikkan-Nya. Tidak ada satu makhluk pun yang pernah melihat Allah. Walau bagaimanapun, Allah sentiasa mengajak manusia berfikir dengan merenung tanda- tanda kekuasaan-Nya sebagai bukti kewujudan-Nya. Firman Allah:

            “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.” (Surah al-Baqarah ayat 164)

            “Sesungguhnya dalam penciptaan langit langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” (Surah al-Imraan ayat 190)
            “Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) dilangit dan dibumi, dan ( Kami memperlihatkannya) agar Ibrahim itu termasuk orang-orang yang yakin.” (Surah al-Anaam ayat 75)

            “Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau, Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang korma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah, dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman”. (Surah al-Anaam ayat 99)

       “Dan sebagian dari tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah bersujud kepada matahari dan janganlah (pula) kepada bulan, tetapi bersujudlah kepada Allah Yang menciptakannya, jika kamu hanya kepada-Nya saja menyembah.” (Surah Fussilat ayat 37)

Terdapat banyak lagi firman-firman Allah di dalam al-Quran yang mengajak manusia untuk memerhatikan dan berfikir tentang kejadian alam dan persekitarannya sebagai bukti kewujudan-Nya. Manusia yang beriman ialah mereka yang menyembah Allah walau pun tidak pernah melihat Dia. 

Bolehkah kita melihat Allah?
Ya! Kita boleh melihat Allah di syurga kelak dan itulah nikmat paling besar sekali. Ahlus Sunnah Wal Jamaah berpendapat ahli syurga dapat melihat Allah berdasarkan dalil:

“Wajah-wajah (orang-orang mu’min) pada hari itu berseri-seri. Kepada Rabbnyalah mereka melihat” (Surah Al-Qiyaamah:22-23).

“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (surga) dan tambahannya (melihat wajah Allah Ta’ala). Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni surga, mereka kekal di dalamnya” (Surah Yunus:26).

Kenapa kita perlu percaya adanya hari kiamat?
Percaya kepada Hari Akhirat atau Hari Kiamat merupakan salah satu daripada asas Rukun Iman. Secara umumnya Hari Kiamat dapat diertikan bahawa suatu proses bahawa alam ini akan musnah dan manusia semuanya akan mati. Selepas proses ini berlaku maka Allah akan ciptakan alam yang lain yang dinamakan Alam Akhirat. Alam Akhirat pula diertikan sebagai suatu alam yang akan dibangkitkan seluruh manusia dan diadili dan dihitung dosa pahala mereka sama ada ke syurga atau neraka.

         Kewujudan Hari Akhirat mempunyai hikmah yang tersendiri. Jika kita hidup dan sepanjang kehidupan ini kita melihat hanya melalui ruang lingkup dunia maka kita akan merasakan hidup ini penuh kekejaman dan ketidakadilan. Kita akan merasa sempit dengan kehidupan ini. Entah berapa ribuan juta manusia yang hidupnya ditindas, dizalimi dan tidak mendapat pembelaan seadilnya sejak zaman berzaman. Bayangkanlah jika kita ini ditakdirkan dianiaya oleh seseorang pihak. Seluruh manusia memandang kita sebagai orang yang bersalah. Kita diadili tetapi oleh kerana hakim yang mengadili kita itu telah dirasuah maka kita dijatuhi hukuman. Kita dihukum, mungkin dengan dipenjara, diseksa atau dibunuh. Jikalah Allah tidak mewujudkan perbicaraan di Akhirat maka sudah tentu kehidupan yang kita tempuhi di dunia itu merupakan kehidupan yang tidak adil dan kejam! Maka kewujudan Hari Akhirat adalah untuk memberi keadilan yang mutlak kepada semua manusia dan memberi balasan kebaikan dan kejahatan yang kita lakukan. Firman Allah:

            “Pada hari ini Kami tutup mulut mereka. Dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan,” (Surah Yasin : 65).

            “Dan segala sesuatu yang telah mereka perbuat tercatat dalam buku-buku catatan (yang ada di tangan Malaikat). Dan segala (urusan) yang kecil maupun yang besar adalah tertulis.” (Surah. Qomar: 52-53)

            “Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: ‘Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya.’ Dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Rabbmu tidak menganiaya seorang jua pun.” (Surah. Al-Kahfi: 49)

Kita diajar sembahyang, tapi sembahyang itu untuk apa? Tidak cukupkah moral menjaga diri kita?
Ibadah solat merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam. Umat Islam wajib mendirikan solat fardu yang lima waktu iaitu solat subuh, zohor, asar, maghrib, dan isyak. Solat yang sempurna akan menjaga seseorang itu daripada melakukan kemungkaran dan maksiat, firman Allah:
            “Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (al-Ankabut: 45)

            Kita lihat ramai umat Islam yang bersolat tetapi mereka tetap melakukan kemungkaran, tiada akhlak, penuh sifat-sifat buruk. Solat yang mampu memberi kesan positif ialah solat yang dilakukan dengan betul. Antara aspek yang perlu ada dalam solat ialah khusyuk mengingati Allah. Justeru, solat yang lalai daripada mengingati Allah tidak akan dapat membentuk diri pelakunya. Prof Hamka dalam Tafsir al-Azhar menyatakan:

            “Sembahyang yang akan menjadi banteng daripada perbuatan keji seperti berzina, merompak, merugikan orang lain, berdusta, menipu, dan segala perbuatan mungkar ialah sembahyang dilakukan dengan khusyuk. Ini adalah dengan mengingati maksud sembahyang iaitu melatih diri supaya selalu berzikir , iaitu ingat kepada Allah”.
Dalam sebuah hadis nabi bersabda,

            “Berapa ramai orang yang bersolat sedangkan mereka tidak mendapat apa-apa daripada solat mereka kecuali penat dan letih sahaja” (Riwayat an-Nasai dan Ibnu Majah)

Justeru itu mengapa perlu solat sedangkan ramai mereka yang non-muslim tetapi baik hati dan bermoral tinggi?
Inilah persoalan yang selalu bermain di minda kebanyakkan orang di luar sana. Sebenarnya persoalan ini timbul akibat ketidakfahaman mereka mengenai tujuan dan hikmah syariat solat. Hati insan akan menjadi lapang dan kuat jika dia sering berhubungan dengan Tuhan. Dengan melaksanakan solat dengan betul dan khusyuk, insan akan sentiasa merasa kehadiran Tuhan dalam kehidupannya paling tidak lima kali sehari dia akan sentiasa berhubungan dengan Tuhan.

Kita jika sedang dilamun perasaan cinta pasti akan merasa gembira jika dapat berjumpa dan berhubung dengan orang yang kita cinta, malah jika melihat sesuatu yang berkaitan dengannya pun sudah cukup membuat kita teringat kepada dia seperti melihat rumahnya, menyimpan sapu tangannya dan lain-lain. Keadaan itu persis juga dengan seorang mukmin yang merindukan Tuhannya malah tidak pernah melihat Tuhannya. Oleh itu pensyariatan solat antara hikmahnya ialah untuk menghubungkan jiwa insan dengan Tuhannya. Seseorang yang sentiasa berhubung dengan Tuhan pasti akan merasai kehadiran Tuhan dalam hidupnya dan akan cuba untuk menghindari perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan Tuhan.

Terdapat orang non muslim yang mempunyai moral yang tinggi meskipun mereka tidak solat. Namun kita juga perlu tahu bahawa kita tidak tahu keseluruhan kehidupannya. Contohnya kita lihat Negara Jepun yang terkenal sebagai masyarakat yang bermoral, menepati masa, kuat bekerja, bantu membantu dan sebagainya, namun di suatu sudut yang lain industri pornografi  di Negara itu juga meluas dan mendapat sambutan. Apakah itu merupakan satu bentuk moral yang tinggi? Sudah tentu tidak! Malah ianya merupakan tindakan yang merendahkan martabat kaum wanita. (Rujuk bacaan di http://ms.wikipedia.org/wiki/Pujaan_AV).

1    Kenapa hidup kita perlu terikat dengan agama? Kalau agama itu betul, kenapa perlu ada banyak agama? Siapa yang betul di sini?

Umumnya ramai orang telah tersalah sangka bahawa Islam diasaskan oleh Nabi Muhammad. Sangkaan ini adalah sangkaan yang salah sama sekali! Islam merupakan agama yang pertama malah ianya telahpun dibawa oleh manusia yang pertama diciptakan iaitu Nabi Adam alaihis salam. Firman Allah:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik”. (Al-anaam ayat 161)
Ayat ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W menyambung apa yang telah diturunkan kepada Nabi Ibrahim alaihis salam. Sesetengah orang mungkin keliru terhadap agama Kristian dan agama Yahudi. Mereka menyangka nabi Isa membawa agama Kristian tetapi sebaliknya nabi Isa membawa agama Islam yang mentauhidkan Allah. Oleh kerana itu asas penting dalam agama ialah aqidah. Semua rasul menyeru kepada aqidah mentauhidkan Allah.

Kenapa muncul banyak agama seperti Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu dan                     sebagainya? Agama manakah yang paling betul?
Ketika melihat soalan ini saya teringat salah seorang pendakwah dunia yang                              seangkatan dengan Dr.Zakir Naik iaitu Syeikh Hussien Yee. Syeikh Hussien Yee ialah                rakyat Malaysia yang sering muncul di Peace TV bersama-sama Dr.Zakir Naik dan                   pendakwah-pendakwah yang lain. Beliau merupakan bekas penganut agama Buddha               mengatakan apa-apa nilai-nilai murni yang ada dalam agama Buddha turut sama seperti           yang terkandung dalam ajaran Islam.

         Beliau memberitahu ajaran agama Buddha pada mulanya memang mempercayai Tuhan yang satu. Gautama Buddha dikatakan menyembah ‘sesuatu’, tetapi oleh kerana ajarannya telah terseleweng dengan bid’ah (tokok tambah) dan khurafat maka ajaran itu telah terseleweng. Ini adalah pendapat beliau dan ada kemungkinan betul da nada kemungkinan salah. Wallahua’lam (rujuk pautan ini http://www.youtube.com/watch?v=Wf9La-0D5V0). Kita juga perlu tahu bahawa banyak rahsia dunia yang kita tidak ketahui. Allah menghantar Rasul kepada kaum-kaum sebelum kita sejak dahulu lagi.  Allah berfirman:
            Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelummu; di antara mereka ada yang Kami ceritakan perihalnya kepadamu, dan ada pula di antaranya yang tidak Kami ceritakan kepada kamu. Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah; (maka janganlah diingkari apa yang dibawa oleh Rasul) kerana apabila datang perintah Allah (menimpakan azab) diputuskan hukum dengan adil; pada saat itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah. (Surah Ghaafir ayat 78)

Bilangan para nabi mengikut hadis ialah seramai 124,000 orang dan para rasul seramai antara 313 dan 315 orang. Apakah Gautama Buddha seorang nabi atau rasul? Wallahua’lam perkara itu ada kemungkinan betul dan ada kemungkinan salah dan perkara itu termasuk dalam rahsia Allah.

            Saya pernah mengikuti kelas perbandingan agama dan benar bahawa sesuatu agama itu mula terseleweng apabila kandungan ajarannya mula dicampuri bid’ah, khurafat, unsur-unsur pemujaan tokoh dan sebagainya. Begitulah seperti yang terjadi dengan agama Kristian dan Yahudi. Orang Yahudi mengatakan Uzair anak Allah dan orang Kristian pula mengatakan nabi Isa itu juga anak Allah. Allah merakamkan hal ini di dalam al-Quran:

            “Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak Allah". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?”

            “Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.”
(Surah At-Taubah ayat 30-31)

Ternyata kerosakan agama-agama tersebut diselewengkan oleh ulama-ulama agama itu sendiri. Mereka juga menokok tambah dalam ibadah, firman Allah:

      “Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah padahal kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keridhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang fasik.” (Surah Al Hadid ayat 27)

Jadi agama mana yang betul?
Islam adalah agama yang benar dan betul. Allah mengutuskan nabi Muhammad S.A.W untuk membetulkan kembali kepercayaan orang Kristian dan Yahudi yang telah tersasar daripada ajaran yang asal. Baginda juga meneruskan usaha dakwah tauhid yang telah pun dilakukan oleh rasul-rasul yang terdahulu. Islam adalah agama hujah, maka kebenaran Islam itu datang bersama dengan hujah. Allah di dalam al-Quran sering mengajak manusia berfikir, mendatangkan bukti dan hujah kebenaran. Firman Allah:

 “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (surah An-Nahl, 16: 125)

Allah tidak memaksa manusia menerima seruan Islam melainkan telah datang hujah kebenaran kepada mereka. Firman Allah:

“Dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul” (Surah. Al-Israa’ ayat 15)

Itulah tugas seorang rasul iaitu sebagai penyampai wahyu kebenaran dan menyelamatkan manusia daripada kesesatan. Tugas-tugas para rasul ini pula disambung oleh para ulama dan ilmuan agama. Merekalah yang mewarisi ilmu dan menyampaikan kepada orang ramai.

Kesimpulan
Setelah membuat pembacaan daripada beberapa buku ilmiah, carian laman sesawang dan perbincangan oleh rakan, maka terhasillah jawapan-jawapan yang telah kita bincangkan tadi. Sebanyak tiga persoalan itu telah pun saya cuba menjawab dengan ringkas dan padat agar ianya mudah difahami oleh orang kebanyakkan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan.

            Persoalan-persoalan yang timbul tersebut perlulah kita jawab dengan cara berhikmah dan berdasarkan fakta-fakta yang sahih. Saya akui akan kekurangan dalam penulisan ini atas kekangan masa untuk membuat pembacaan yang lebih luas. Jika jawapan yang dikemukakan ini salah dan tidak memuaskan maka saya mengharapkan teguran yang ikhlas daripada saudara/i semua dan dapat membetulkan saya agar tidak menjadi fitnah di dalam agama. Wallahua’lam.

Ibnu Musfan
23/5/2014