Sunday, 1 December 2013

Pengharaman Shisha: Umat Masih Tidak Peduli

 Shisha merupakan panggilan dalam bahasa Arab atau di India lebih dikenali sebagai Hookah. Ianya biasa disediakan di tempat-tempat awam khususnya di kedai-kedai makan. Sudah menjadi ‘trend’ atau kebiasaan masyarakat awam di Malaysia menghisap shisha sama ada dari golongan muda mahupun golongan tua.

Walau bagaimanapun shisha telah difatwakan haram pada 17 Julai 2013 melalui Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan selepas meneliti bukti saintifik dan laporan perubatan , yang penggunaannya memudaratkan kesihatan pengguna. Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan asap shisha yang disedut dalam sejam bersamaan dengan menghisap 100 hingga 200 batang rokok. Sementara itu, kajian yang dilakukan oleh Royal University Arab Saudi menemui bahawa asap shisha 30 kali lebih pekat bahan kimia dan 200 kali lebih toksik berbanding asap rokok. Shisha juga menghasilkan karbon monoksida yang tinggi iaitu bersamaan sekali hembusan 52 batang rokok.

Dukacita apabila didapati fatwa pengharaman shisha ini seperti tidak memberi kesan kepada penjualannya di Negara kita ini. Sikap memandang remeh fatwa yang dikeluarkan disusuli dengan kurangnya pembanterasan pihak berkuasa menyebabkan penjualan dan perbuatan menghisap shisha masih berleluasa. Lebih menyedihkan lagi apabila penyedia perkhidmatan shisha dan pelanggannya terdiri daripada masyarakat Islam. Jika hendak bersangka baik mungkin mereka tidak tahu mengenai fatwa tersebut atau tidak mengambil berat mengenai hal ini. Marilah kita sama-sama renungi firman Allah:


“Dan infakkanlah (hartamu) ke jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah. Sungguh, Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik” (al-Baqarah 2:195)

         Perbuatan menghisap shisha mahupun rokok umpama membinasakan diri sendiri kerana membahayakan kesihatan malah mengganggu orang di sekeliling. Penulis juga mendapati perbelanjaan shisha dan rokok merupakan pembaziran kerana tiada manfaat yang boleh diperolehi. Wang itu boleh digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah atau mungkin ada teman-teman yang susah  lebih memerlukan bantuan kewangan. Ingatlah sahabat semua bahawa Allah melabel pembazir sebagai saudara syaitan, firman-Nya:

"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (al-Israa ayat 27)

Akhir kalam penulis ingin mengingatkan diri sendiri dan sahabat semua supaya kita sentiasa berusaha untuk menjauhkan diri daripada perkara haram dan merugikan diri sendiri. Marilah kita bersama-sama saling mengingatkan antara satu sama lain. Mari tinggalkan yang haram! =)


Laporan Akhbar Berita Harian 7 November 2013

Friday, 27 September 2013

Tahu dan Rasa

Antara TAHU dan RASA sememangnya ada perbezaan. Contohnya Abu menderita penyakit kanser sejak 3 tahun lepas. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga isterinya pula meninggalkannya dengan meminta fasakh. Tinggallah Abu sendirian. Suatu hari Abu berjumpa dengan sahabat lamanya, Atan.

Atan: Assalamualaikum apa kabo ko?
Abu: Waalaikumussalam hurm... ko pun TAHU kan keadaan aku...
Atan: Ya Abu aku TAHU perasaan ko...penderitaan ko... aku harap kau bersabar dengan ujian Allah ini...

Abu: aku tak tahan... aku nak BUNUH DIRI... aku tak tahan!
Atan: Astagfirullah... Abu banyakkan istigfar... ini ujian Allah...

Abu: ah! kau! kau TAHU tapi kau tak RASA! kau tak FAHAM!!!
Atan: ya Abu... memang aku tak RASA penderitaan kau... tapi aku hanya mampu memberi semangat pada kau... lagipun bunuh diri itu BERDOSA..

Abu: ah!! kau tahu cakap je... tapi kau tak RASA!!!

Keesokkan harinya Abu ditemui mati menggantung diri di rumahnya. Apa yang Abu dapat? Ujian yang diberi oleh Allah itu jika dia bersabar dan reda maka ganjarannya pahala di sisi Allah namun dia memilih jalan untuk membunuh diri.

Kesimpulan dari cerita yang saya reka ini ialah TAHU dan RASA memang berbeza. Namun ada batasan syariat yang Allah tentukan. Begitu juga dengan bid'ah. Sebahagian besar pelaku bid'ah menggunakan hujah zauq (RASA) untuk menghalalkan bid'ah mereka. Namun Allah dan rasul melarang bid'ah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

"Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari ugama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?" [al-Syura 42:21]

Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

"Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat."

( Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi)

Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak.”

( Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

WALLAHUA"LAM



Monday, 29 July 2013

Tarbiah Kehidupan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh kepada pembaca yang budiman.

Malam ini tidurku terganggu dengan salakan anjing di hadapan rumah, entah apa yang dilaungkan tidak pula aku mengerti. Aku tak pernah salahkan anjing-anjing ini kerana itulah fitrahnya. Mata ini tidak boleh lelap lagi walaupun telah kupujuk kurayu lantas aku mengambil keputusan untuk berjaga sahaja sementara menanti sahur dan waktu subuh.

Tatkala semua manusia enak dibuai mimpi, aku merenung ke langit malam. Indah dihiasi bulan dan bintang. Cuaca yang baik dan tiada awan yang melindungi mata ini untuk merenung ciptaan Allah. Subhanallah itu sajalah yang mampu aku ucapkan tanda ketakjuban terhadap ciptaan-Nya.



Aku termenung pada malam ini. Fikiranku kosong dan mula menjelajah jauh ke dalam kotak-kotak memori..
aku terbayang kenangan lalu...
saat adanya ibu..ayah...dan kakak...
meriah rumah ini dengan mereka, ada saja teman untuk aku berbual dan mengadu.

Masa berlalu dengan pantas dan kini aku sendirian..
dalam rumah yang sama dan tempat yang sama..
namun suasana yang berbeza..
sunyinya malam tidak setanding sunyinya hatiku ini..

Hidup ini telah mengajar aku satu pelajaran yang berharga..
aku mula belajar untuk menghargai apa jua pemberian Ilahi..
kerna aku merasakan diriku ini masih lagi beruntung tetapi cepat mengalah dengan cubaan..

Apa yang aku harapkan ialah bimbingan dan panduan..
agar sentiasa berada di jalan kebaikan..

Telah kukarang sebuah lagu luahan sanubari..
kudendangkan sebagai penghibur di kala sunyi..


Mencari Halawah

Qul Hasbiyaallah..
Ya Allah...
cukuplah Engkau bagiku...
biarpun ditakdirkan hidup ini tiada teman..
cukuplah Engkau peneman suka duka hidupku...
biarpun ditakdirkan tiada yang mencintaiku...
cukuplah cinta-Mu yang ku nikmati...
biarpun ditakdirkan hidup ku sengsara di dunia ini...
cukuplah nikmat-Mu di akhirat nanti...
biarpun semua makhluk membenci...
cukuplah Engkau menyayangi...
Ya Allah...la ilaha illaallah...
pimpinlah daku di jalan ini...
untuk menuju-Mu...
Cinta-Mu...Keredaan-Mu...Rahmat kasih sayang-Mu...
kurniakan aku ketenangan hidup ini...
demikianlah Halawah yang ku cari..dan yang ku nanti

video



Wednesday, 12 June 2013

Bab Zakat


Assalamualaikum :)

Dah lama rasanya tak kemas kini blog ni. Bukan tiada masa tapi jari yang malas nak menaip hehe. Baiklah oleh kerana minggu ni minggu peperiksaan, mari kita ulang kaji Pembangunan Berteraskan Islam bab Institusi Zakat.

Saya akan bincang berdasarkan skop ini:

  • Definisi konsep zakat
  • Asnaf-asnaf zakat
  • Sejarah perkembangan institusi zakat


Definisi dan Konsep Zakat

Definisi bahasa: Pembersihan, pertambahan, subur, kesucian

Definisi istilah syarak: Harta tertentu yang dikeluarkan pada kadar tertentu bagi faedah golongan tertentu untuk mendapat keredaan Allah.

Daripada Ibnu Abbas diceritakan semasa Rasulullah SAW mengutuskan Muaz ke Yaman, baginda bersabda:

 "Ajaklah mereka mentauhidkan Allah dan mengakui Nabi Muhammad s.a.w. Jika mereka terima maka beritahu mereka bahawa Allah telah memfardukan solat lima waktu sehari semalam, jika mereka terima maka beritahu mereka bahawa Allah telah memfardukan sadaqah (zakat) yang dikutip daripada orang-orang kaya dan dikembalikan kepada fakir miskin di kalangan mereka"

(Hadis Riwayat Bukhari, No.537)


Jenis Zakat


  • Zakat Fitrah - zakat yang difardukan kepada semua individu muslim lelaki dan perempuan yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

  • Zakat Harta



Syarat Wajib Zakat Harta

  1. Islam
  2. Merdeka
  3. Cukup Haul
  4. Cukup nisab
  5. Milik sempurna

Harta yang disepakati pada awal Islam yang perlu dikeluarkan zakat ialah:


  1. Haiwan ternakan
  2. Emas dan perak
  3. Harta galian dan harta karun
  4. Hasil tanaman
  5. Barangan dagangan dan perusahaan
Walau bagaimanapun ada juga benda-benda lain yang dianggap sebagai harta seperti wang gaji, KWSP, saham dan bon, wang tunai dan lain-lain. Hal ini terjadi mengikut keperluan dan keadaan semasa. Sumber harta zakat sentiasa berubah berdasarkan keperluan dan keadaan semasa yang boleh diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri masing-masing.



Siapakah yang layak menerima zakat?

Mereka yang layak mendapat bantuan zakat dipanggil asnaf. Asnaf zakat disenaraikan di dalam surah at-taubah ayat 60. Allah berfirman:


"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Berdasarkan ayat tersebut asnaf zakat terdiri daripada:


  1. Fakir
  2. Miskin
  3. Muallaf
  4. Amil
  5. Fi sabillillah
  6. Ibnu sabil
  7. Orang yang berhutang (Gharimiin)
  8. Hamba yang hendak memerdekakan dirinya (Riqaab)

Fakir
Fakir yang dimaksudkan ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha yang halal yang layak dengannya untuk memenuhi keperluan diri dan tanggungannya termasuklah keperluan makan, pakaian,tempat tinggal dan keperluan-keperluan yang lain.

Miskin
Miskin yang dimaksudkan ialah orang Islam yang mempunyai harta hasil usaha yang halal tetapi masih tidak mencukupi untuk dirinya dan tanggungannya.

Amil
Amil ialah orang yang ditugaskan mengutip zakat, mengurus dan membahagikan harta zakat.

Muallaf
Orang yang baru memeluk Islam yang dijinakkan hatinya. Pemberian zakat ini bertujuan untuk meneguhkan hatinya terhadap Islam. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa zakat boleh diberikan kepada mereka yang hampir kepada Islam dan tidak memerangi Islam.  Kata al-Imam Ibn Qudamah (w. 620):
“Muallaf itu dua bahagian: kuffar dan muslimin yang mana mereka itu pemimpin yang ditaati dalam kaum dan keluarga mereka. Bahagian kuffar ini pula ada dua kelompok: pertama; orang yang diharapkan dia menganut Islam, maka diberikan zakat agar hasrat keislamannya bertambah dan jiwanya cenderung kepada Islam, lalu dia menjadi muslim…kelompok kedua; orang yang dibimbangi kejahatannya. Diharapkan dengan pemberian kepadanya akan menghalang kejahatannya dan mereka yang bersamanya..” (Ibn Qudamah, al-Mughni 9/317. Kaheran: Hijr).
Inilah pendapat yang ditarjihkan (dinilai lebih kuat penghujahannya) oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakah, Dr ‘Abd al-Karim Zaidan dalam al-Mufassal, juga Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar dalam kertas Ta’lif al-Qulub ‘ala al-Islam bi Amwal al-Sadaqah dan lain-lain. Maka, berdasarkan pendapat ini boleh diberikan zakat bahagian muallaf kepada bukan muslim yang berpengaruh dalam kaum atau masyarakat mereka yang diharapkan pemberian itu menggalakkan dia atau pengikutnya menerima Islam, atau mengurangkan sikap permusuhan dengan Islam. Pendapat ini disokong oleh pelbagai riwayat yang mana Nabi s.a.w memberikan kepada pemimpin-pemimpin Arab yang masih kafir seperti Sofwan bin Umayyah. Sehingga Sofwan pernah berkata:
“Demi Allah! Rasulullah s.a.w memberikan kepadaku begitu banyak. Dahulunya, dia adalah orang yang paling aku benci. Dia terus memberi kepadaku sehingga dia menjadi orang yang paling aku sayangi” (Riwayat Muslim).
Untuk pembacaan yang lebih lanjut boleh merujuk ke laman sesawang ini:

http://drmaza.com/home/?p=1325



Orang yang berhutang (gharimiin)
Orang yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi dirinya dan tanggungannya. Dia berhutang atas perkara yang dibenarkan syarak. Tempoh pinjaman telah tamat dan dia benar-benar hendak melangsaikannya dan tidak mampu menjelaskannya. Contohnya bil perubatan dan pembedahan.

Fi sabilillah
Maknanya orang yang membuat sesuatu perkara untuk menegakkan syiar Islam. Berjuang di jalan Allah. Contohnya menuntut ilmu, program dakwah dan sebagainya.

Ibnu sabiil
Maknanya mereka yang terputus bekalan semasa perjalanan musafir atau mereka yang hendak memulakan perjalanan tetapi tiada belanja dengan syarat perjalanan itu untuk perkara yang dibenarkan syarak dan dia mesti mengembara dari negeri tempat tinggalnya.

Hamba yang hendak memerdekakan diri (riqaab)


Program-program yang dilaksanakan untuk membantu asnaf:


  • Program Pembangunan Sosial
  • Program Pembangunan Ekonomi
  • Program Pembangunan Institusi Agama
  • Program Pembangunan Pendidikan
  • Program Pembangunan Insan


Di Malaysia, setiap negeri mempunyai badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip zakat. Pada zaman ini institusi zakat menjadi penting kerana beberapa sebab:


  1. Bagi memudahkan masyarakat muslim awam untuk membayar zakat. Memudahkan kerana masyarakat awam tidak mahir untuk mengurus zakat kerana melibatkan pengiraan tertentu.
  2. Menjamin hak dan pemberian kepada golongan yang memerlukan (asnaf). Hal ini akan memastikan harta zakat dapat disampaikan kepada asnaf dan maruah mereka dapat dipelihara kerana tidak perlu meminta-minta kepada pemilik harta.
Pada era 90-an, institusi zakat di Malaysia telah ditransformasikan iaitu diwujudkan institusi khas untuk memungut zakat dengan lebih profesional dengan cara penswastaan. Sejarah bermula dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan (1991), Lembaga Zakat Selangor (1994), Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (1994) dan lain-lain.

Mengapakah perlunya transformasi institusi zakat?


  • Melancarkan pentadbiran, kutipan dan agihan zakat
  • Memaksimumkan prestasi dan mengurangkan kos
  • Memantapkan pengurusan zakat
  • Membentuk imej baru institusi zakat
  • Mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat





P/S: Sebarang pembetulan ilmiah adalah dialu-alukan :)

Thursday, 30 May 2013

:(

Tidurlah...
semoga mimpimu indah..
seindah sinaran mata..
bila kau tertawa..

Tidurlah...
semoga mimpimu manis..
semanis senyum mu sayang..
ku simpan wajahmu..
di dalam hati..

Ingin ku curahkan kasih sayang..
namun kau kan pergi jua..
berat rasanya hati ini..
melihat kau pergi..

Pergilah..
dan berjanjilah di hati..
kita pastikan bertemu..
berdua bersama... selamanya...


Ibu... :(

Thursday, 21 March 2013

Kembara Ilmu (21/3/2013)

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barokatuh, alhamdulillah pagi Jumaat yang mulia ini saya masih lagi dapat menikmati kehidupan ini.


Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kerana baru-baru ini saya berkesempatan menadah Kitab Riyadus Solihin karangan Imam Nawawi dalam pengajian yang disampaikan oleh Prof Madya Dr Asri di Institut al-Qayyim pada 21/3/2013 yang lalu (semalam la..).




Banyak ilmu baru berkenaan dengan hadis yang saya dapat pelajari semalam. Hadis yang dimaksudkan ialah seperti di bawah:


" Dari Ali radiyallahu anhu, ia berkata " Aku menghafal dari Rasulullah SAW" " Tidak ada yatim setelah anak menjadi baligh, dan tidak boleh menutup mulut sepanjang hari  hingga malam. "

(Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad hasan)


NOTA: Hadis di atas merupakan catatan saya. Jika ada pembetulan bolehlah memberi komen di bawah. Wallahua'lam.

Antara syarah hadis ini yang disampaikan oleh Dr Asri yang sempat saya catat ialah:

  1. Perbuatan tidak berbicara dengan sesiapapun merupakan bentuk ibadat yang dilakukan oleh masyarakat Arab pada zaman jahiliyah.
  2. Jika seseorang tidak berbicara sepanjang hari tanpa beriktiqad (berkeyakinan) perkara tersebut merupakan ibadah maka ianya tidak menjadi kesalahan. Contohnya seseorang tidak mahu bercakap kerana sakit gigi.
  3. Tiada lagi istilah yatim piatu setelah anak tersebut mencapai baligh. Dr Asri menambah iaitu pemegang harta amanah anak yatim tidak boleh memberi harta tersebut kepada anak yatim meskipun mereka telah mencapai baligh tetapi tidak mencapai kematangan kerana bimbang harta tersebut disalahgunakan.
Itulah antara catatan yang sempat saya tulis. Selain itu terdapat beberapa penambahan yang dibincangkan di luar konteks perbincangan hadis tersebut iaitu:


  • Juwairiyah binti Haris merupakan salah seorang daripada isteri-isteri Rasulullah SAW.
  • Baghal ialah binatang kacukan kuda dan keldai. Rasulullah SAW mempunyai Baghal berwarna putih.
  • Rasulullah SAW wafat tanpa meninggalkan harta yang banyak tetapi baginda mewariskan ilmu.
  • Ibnu Taimiyyah memberikan makna zuhud dan warak:
    -Zuhud maknanya seseorang meninggalkan apa-apa yang tidak memberi manfaat untuk dia pada hari  akhirat.
    -Warak pula memberi makna seseorang yang meninggalkan apa-apa yang memberi mudarat untuk dia pada hari akhirat.
  • Imam Ahmad membahagikan zuhud kepada tiga peringkat iaitu:
    1) Meninggalkan perkara yang haram
    2) Meninggalkan mengambil perkara yang halal secara berlebihan. Contohnya jual beli merupakan perkara yang halal tetapi jual beli secara berlebihan patut ditinggalkan

    3) Meninggalkan apa saja yang boleh menganggu hubungan dengan Allah.
  • Qais ibnu Abi Haazim bukan termasuk golongan sahabah kerana beliau tidak sempat jumpa Rasulullah SAW. Diceritakan bahawa Rasulullah SAW wafat ketika Qais dalam perjalanan hendak bertemu baginda. Bapanya, Abi Haazim merupakan sahabah Rasulullah SAW. Begitu juga Raja Najasyi iaitu raja Habsyah yang menganut Islam tetapi tidak sempat bertemu Rasulullah SAW.
  • Raja Najasyi membayarkan mahar untuk Rasulullah SAW untuk menikahi Ummu Habibah. Ummu Habibah merupakan salah seorang yang mengikuti hijrah ke Habsyah. Suaminya telah murtad masuk Kristian.
  • Bernazar merupakan ibadah. Nazar merupakan sesuatu yang menjadikan seseorang bertaqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah. Contohnya "Aku bernazar untuk berpuasa pada bulan ini" (ini merupakan nazar) "Aku bernazar untuk karoeke malam ini" (ini bukan nazar dan jika ditinggalkan tidak perlu kifarah).
Wallahua'lam itulah sahaja yang sempat saya catatkan. Jika ada pembetulan ilmiah saya sangat alu-alukan. Sebenarnya banyak lagi info-info penting yang tidak sempat saya catatkan seperti Dr Asri ada menyebut mengenai kelampauan kumpulan-kumpulan tareqat dan golongan yang ghuluw dalam memuliakan habib-habib. Alhamdulillah semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua. Perbanyakkanlah mengaji ilmu kerana ianya pemisah antara hak dan kebatilan. Menuntut ilmu merupakan ubat kejahilan.

Saya harap semoga diberi kesempatan lagi untuk berkunjung ke IQ lagi insya-Allah :)



Tuesday, 5 February 2013

Erti Kasih Sayang

Assalamualaikum semua :)

Alhamdulillah diberi kesempatan untuk berkongsi sesuatu di sini, sudah lama rasanya tidak berkesempatan untuk buat 'entry' baru kerana kekangan yang dihadapi.

Entah kenapalah agaknya aku buat tajuk 'erti kasih sayang'... macam ni kisahnya...

Tengah hari tadi aku keluar la jap nak beli makanan...lapar perut... nak masak pun takda apa-apa pun kat rumah tu...yelah dah lama ditinggalkan sejak aku belajar kat USM... cuti sem pun da nak habis da..

Dalam kelaparan tu aku pun pegi la kedai mamak sekitar taman perumahan aku ni... Restoran Solehah Baru namanya... sedang aku pilih ayam goreng yang ada kat situ tiba-tiba je fikiran aku ni terbayang kenangan-kenangan lalu...

Apa kaitan ayam goreng tu dengan hidup aku ni? pelik-pelik...

Aku sebenarnya terbayang kenangan bersama arwah ayah dan ibu... dulu arwah ayah da bersara da... arwah ibu plak masih lagi kerja sebagai kaki tangan awam... masa tu aku dalam form 3... pagi2 aku siap pegi sekolah hurm selalu jalan kaki je... sebab tu kurus masa tu hehe...

Jadi nak dijadikan cerita, masa tu balik sekolah pukul 1.10...itu 'standard' la... kalu ada kelas tambahan (PMR) balik umah dalam pukul 4 gitu... jadi kalau balik pukul 1.10 tu biasa makan kat rumah... arwah ayah masa tu memang 'pencen' sepenuh masa la hehe jadi ayah la yang selalu masak... aku masa tu balik sekolah pun selalu lapar kebulur jadi memang berselera sangatlah kalau makan tu...

ayah selalu buat telur dadar...tapi telur dadar yang ayah buat ni sedap la sebab dia ada letak bahan dan ramuan lain... aku memang suka sangat... setiap kali aku balik sekolah memang ayah buatkan makanan tengah hari...kadang-kadang dia beli je ayam goreng kat Restoran Solehah Baru... haaa sebab ni la yang buat aku teringat tadi :).. owh ya masa ni akak aku takda sebab tengah belajar kat UITM Segamat...

Makan malam plak ibulah yang masak selepas balik kerja... memang sedap masakan ibu... tapi ibu selalu kata ayah lagi pandai masak...ya memang betul...walaupun ayah jarang masak tapi bila sampai 'mood' dia masak memang sedap! tak tipu :)

Beberapa minggu sebelum aku duduki PMR... ayah dijemput maut... ayah meninggal mengejut akibat sakit jantung...seminggu sebelum tu ayah sahabat baik aku (syahir) meninggal...pastu aku pula yang ditimpa musibah ini... masa tu aku rasa macam antara percaya atau tidak... walaupun ayah dah dikebumikan..aku dan ibu masih lagi rasa ayah akan pulang...tapi itu hanya mainan perasaan sahaja..

Setelah pemergian ayah... ibu masih bekerja... waktu aku form 4 ibu selalu belikan aku makanan untuk makan tengah hari... ibu selalu kirim kawan dia untuk hantarkan lauk kat rumah... aku balik sekolah je tengah hari, bungkusan makanan dah tergantung kat pintu... walaupun ibu sibuk bekerja tapi dia masih ingat kat anak dia ni... manja betul...:)

Nak dipendekkan cerita...ibu mula sakit tenat masa aku di akhir form 4....ibu meninggal sebelum aku melanjutkan sekolah ke form 6... banyak suka duka aku dengan ibu selama tempoh 2 tahun itu...

Pelajaran yang aku dapat ialah:

1) Kasih Sayang Ibu dan Ayah
2) Menjadi Lebih Matang untuk Teruskan Kehidupan
3) Perlu Lebih Berdikari
4) Mengetahui Erti Sebenar Kasih Sayang

Kini aku tinggal sendirian di rumah yang penuh kenangan ini... akak pun dah kahwin dan tinggal di Pasir Gudang...

Hanya seketul ayam goreng telah merungkai segala kenangan hidup aku...

Aku bersyukur kerna pernah dikurniakan ayah dan ibu yang menyayangi anak-anaknya... jika hendak dibandingkan ada di antara kita yang diabaikan keluarga...

Aku bersyukur kerna masih lagi dapat makan dan minum..jika hendak dibandingkan ada antara manusia yang kebuluran dan kemiskinan...