Thursday, 21 March 2013

Kembara Ilmu (21/3/2013)

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barokatuh, alhamdulillah pagi Jumaat yang mulia ini saya masih lagi dapat menikmati kehidupan ini.


Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kerana baru-baru ini saya berkesempatan menadah Kitab Riyadus Solihin karangan Imam Nawawi dalam pengajian yang disampaikan oleh Prof Madya Dr Asri di Institut al-Qayyim pada 21/3/2013 yang lalu (semalam la..).




Banyak ilmu baru berkenaan dengan hadis yang saya dapat pelajari semalam. Hadis yang dimaksudkan ialah seperti di bawah:


" Dari Ali radiyallahu anhu, ia berkata " Aku menghafal dari Rasulullah SAW" " Tidak ada yatim setelah anak menjadi baligh, dan tidak boleh menutup mulut sepanjang hari  hingga malam. "

(Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad hasan)


NOTA: Hadis di atas merupakan catatan saya. Jika ada pembetulan bolehlah memberi komen di bawah. Wallahua'lam.

Antara syarah hadis ini yang disampaikan oleh Dr Asri yang sempat saya catat ialah:

  1. Perbuatan tidak berbicara dengan sesiapapun merupakan bentuk ibadat yang dilakukan oleh masyarakat Arab pada zaman jahiliyah.
  2. Jika seseorang tidak berbicara sepanjang hari tanpa beriktiqad (berkeyakinan) perkara tersebut merupakan ibadah maka ianya tidak menjadi kesalahan. Contohnya seseorang tidak mahu bercakap kerana sakit gigi.
  3. Tiada lagi istilah yatim piatu setelah anak tersebut mencapai baligh. Dr Asri menambah iaitu pemegang harta amanah anak yatim tidak boleh memberi harta tersebut kepada anak yatim meskipun mereka telah mencapai baligh tetapi tidak mencapai kematangan kerana bimbang harta tersebut disalahgunakan.
Itulah antara catatan yang sempat saya tulis. Selain itu terdapat beberapa penambahan yang dibincangkan di luar konteks perbincangan hadis tersebut iaitu:


  • Juwairiyah binti Haris merupakan salah seorang daripada isteri-isteri Rasulullah SAW.
  • Baghal ialah binatang kacukan kuda dan keldai. Rasulullah SAW mempunyai Baghal berwarna putih.
  • Rasulullah SAW wafat tanpa meninggalkan harta yang banyak tetapi baginda mewariskan ilmu.
  • Ibnu Taimiyyah memberikan makna zuhud dan warak:
    -Zuhud maknanya seseorang meninggalkan apa-apa yang tidak memberi manfaat untuk dia pada hari  akhirat.
    -Warak pula memberi makna seseorang yang meninggalkan apa-apa yang memberi mudarat untuk dia pada hari akhirat.
  • Imam Ahmad membahagikan zuhud kepada tiga peringkat iaitu:
    1) Meninggalkan perkara yang haram
    2) Meninggalkan mengambil perkara yang halal secara berlebihan. Contohnya jual beli merupakan perkara yang halal tetapi jual beli secara berlebihan patut ditinggalkan

    3) Meninggalkan apa saja yang boleh menganggu hubungan dengan Allah.
  • Qais ibnu Abi Haazim bukan termasuk golongan sahabah kerana beliau tidak sempat jumpa Rasulullah SAW. Diceritakan bahawa Rasulullah SAW wafat ketika Qais dalam perjalanan hendak bertemu baginda. Bapanya, Abi Haazim merupakan sahabah Rasulullah SAW. Begitu juga Raja Najasyi iaitu raja Habsyah yang menganut Islam tetapi tidak sempat bertemu Rasulullah SAW.
  • Raja Najasyi membayarkan mahar untuk Rasulullah SAW untuk menikahi Ummu Habibah. Ummu Habibah merupakan salah seorang yang mengikuti hijrah ke Habsyah. Suaminya telah murtad masuk Kristian.
  • Bernazar merupakan ibadah. Nazar merupakan sesuatu yang menjadikan seseorang bertaqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah. Contohnya "Aku bernazar untuk berpuasa pada bulan ini" (ini merupakan nazar) "Aku bernazar untuk karoeke malam ini" (ini bukan nazar dan jika ditinggalkan tidak perlu kifarah).
Wallahua'lam itulah sahaja yang sempat saya catatkan. Jika ada pembetulan ilmiah saya sangat alu-alukan. Sebenarnya banyak lagi info-info penting yang tidak sempat saya catatkan seperti Dr Asri ada menyebut mengenai kelampauan kumpulan-kumpulan tareqat dan golongan yang ghuluw dalam memuliakan habib-habib. Alhamdulillah semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua. Perbanyakkanlah mengaji ilmu kerana ianya pemisah antara hak dan kebatilan. Menuntut ilmu merupakan ubat kejahilan.

Saya harap semoga diberi kesempatan lagi untuk berkunjung ke IQ lagi insya-Allah :)



No comments:

Post a Comment