Wednesday, 12 June 2013

Bab Zakat


Assalamualaikum :)

Dah lama rasanya tak kemas kini blog ni. Bukan tiada masa tapi jari yang malas nak menaip hehe. Baiklah oleh kerana minggu ni minggu peperiksaan, mari kita ulang kaji Pembangunan Berteraskan Islam bab Institusi Zakat.

Saya akan bincang berdasarkan skop ini:

  • Definisi konsep zakat
  • Asnaf-asnaf zakat
  • Sejarah perkembangan institusi zakat


Definisi dan Konsep Zakat

Definisi bahasa: Pembersihan, pertambahan, subur, kesucian

Definisi istilah syarak: Harta tertentu yang dikeluarkan pada kadar tertentu bagi faedah golongan tertentu untuk mendapat keredaan Allah.

Daripada Ibnu Abbas diceritakan semasa Rasulullah SAW mengutuskan Muaz ke Yaman, baginda bersabda:

 "Ajaklah mereka mentauhidkan Allah dan mengakui Nabi Muhammad s.a.w. Jika mereka terima maka beritahu mereka bahawa Allah telah memfardukan solat lima waktu sehari semalam, jika mereka terima maka beritahu mereka bahawa Allah telah memfardukan sadaqah (zakat) yang dikutip daripada orang-orang kaya dan dikembalikan kepada fakir miskin di kalangan mereka"

(Hadis Riwayat Bukhari, No.537)


Jenis Zakat


  • Zakat Fitrah - zakat yang difardukan kepada semua individu muslim lelaki dan perempuan yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

  • Zakat Harta



Syarat Wajib Zakat Harta

  1. Islam
  2. Merdeka
  3. Cukup Haul
  4. Cukup nisab
  5. Milik sempurna

Harta yang disepakati pada awal Islam yang perlu dikeluarkan zakat ialah:


  1. Haiwan ternakan
  2. Emas dan perak
  3. Harta galian dan harta karun
  4. Hasil tanaman
  5. Barangan dagangan dan perusahaan
Walau bagaimanapun ada juga benda-benda lain yang dianggap sebagai harta seperti wang gaji, KWSP, saham dan bon, wang tunai dan lain-lain. Hal ini terjadi mengikut keperluan dan keadaan semasa. Sumber harta zakat sentiasa berubah berdasarkan keperluan dan keadaan semasa yang boleh diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri masing-masing.



Siapakah yang layak menerima zakat?

Mereka yang layak mendapat bantuan zakat dipanggil asnaf. Asnaf zakat disenaraikan di dalam surah at-taubah ayat 60. Allah berfirman:


"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Berdasarkan ayat tersebut asnaf zakat terdiri daripada:


  1. Fakir
  2. Miskin
  3. Muallaf
  4. Amil
  5. Fi sabillillah
  6. Ibnu sabil
  7. Orang yang berhutang (Gharimiin)
  8. Hamba yang hendak memerdekakan dirinya (Riqaab)

Fakir
Fakir yang dimaksudkan ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha yang halal yang layak dengannya untuk memenuhi keperluan diri dan tanggungannya termasuklah keperluan makan, pakaian,tempat tinggal dan keperluan-keperluan yang lain.

Miskin
Miskin yang dimaksudkan ialah orang Islam yang mempunyai harta hasil usaha yang halal tetapi masih tidak mencukupi untuk dirinya dan tanggungannya.

Amil
Amil ialah orang yang ditugaskan mengutip zakat, mengurus dan membahagikan harta zakat.

Muallaf
Orang yang baru memeluk Islam yang dijinakkan hatinya. Pemberian zakat ini bertujuan untuk meneguhkan hatinya terhadap Islam. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa zakat boleh diberikan kepada mereka yang hampir kepada Islam dan tidak memerangi Islam.  Kata al-Imam Ibn Qudamah (w. 620):
“Muallaf itu dua bahagian: kuffar dan muslimin yang mana mereka itu pemimpin yang ditaati dalam kaum dan keluarga mereka. Bahagian kuffar ini pula ada dua kelompok: pertama; orang yang diharapkan dia menganut Islam, maka diberikan zakat agar hasrat keislamannya bertambah dan jiwanya cenderung kepada Islam, lalu dia menjadi muslim…kelompok kedua; orang yang dibimbangi kejahatannya. Diharapkan dengan pemberian kepadanya akan menghalang kejahatannya dan mereka yang bersamanya..” (Ibn Qudamah, al-Mughni 9/317. Kaheran: Hijr).
Inilah pendapat yang ditarjihkan (dinilai lebih kuat penghujahannya) oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakah, Dr ‘Abd al-Karim Zaidan dalam al-Mufassal, juga Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar dalam kertas Ta’lif al-Qulub ‘ala al-Islam bi Amwal al-Sadaqah dan lain-lain. Maka, berdasarkan pendapat ini boleh diberikan zakat bahagian muallaf kepada bukan muslim yang berpengaruh dalam kaum atau masyarakat mereka yang diharapkan pemberian itu menggalakkan dia atau pengikutnya menerima Islam, atau mengurangkan sikap permusuhan dengan Islam. Pendapat ini disokong oleh pelbagai riwayat yang mana Nabi s.a.w memberikan kepada pemimpin-pemimpin Arab yang masih kafir seperti Sofwan bin Umayyah. Sehingga Sofwan pernah berkata:
“Demi Allah! Rasulullah s.a.w memberikan kepadaku begitu banyak. Dahulunya, dia adalah orang yang paling aku benci. Dia terus memberi kepadaku sehingga dia menjadi orang yang paling aku sayangi” (Riwayat Muslim).
Untuk pembacaan yang lebih lanjut boleh merujuk ke laman sesawang ini:

http://drmaza.com/home/?p=1325



Orang yang berhutang (gharimiin)
Orang yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi dirinya dan tanggungannya. Dia berhutang atas perkara yang dibenarkan syarak. Tempoh pinjaman telah tamat dan dia benar-benar hendak melangsaikannya dan tidak mampu menjelaskannya. Contohnya bil perubatan dan pembedahan.

Fi sabilillah
Maknanya orang yang membuat sesuatu perkara untuk menegakkan syiar Islam. Berjuang di jalan Allah. Contohnya menuntut ilmu, program dakwah dan sebagainya.

Ibnu sabiil
Maknanya mereka yang terputus bekalan semasa perjalanan musafir atau mereka yang hendak memulakan perjalanan tetapi tiada belanja dengan syarat perjalanan itu untuk perkara yang dibenarkan syarak dan dia mesti mengembara dari negeri tempat tinggalnya.

Hamba yang hendak memerdekakan diri (riqaab)


Program-program yang dilaksanakan untuk membantu asnaf:


  • Program Pembangunan Sosial
  • Program Pembangunan Ekonomi
  • Program Pembangunan Institusi Agama
  • Program Pembangunan Pendidikan
  • Program Pembangunan Insan


Di Malaysia, setiap negeri mempunyai badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip zakat. Pada zaman ini institusi zakat menjadi penting kerana beberapa sebab:


  1. Bagi memudahkan masyarakat muslim awam untuk membayar zakat. Memudahkan kerana masyarakat awam tidak mahir untuk mengurus zakat kerana melibatkan pengiraan tertentu.
  2. Menjamin hak dan pemberian kepada golongan yang memerlukan (asnaf). Hal ini akan memastikan harta zakat dapat disampaikan kepada asnaf dan maruah mereka dapat dipelihara kerana tidak perlu meminta-minta kepada pemilik harta.
Pada era 90-an, institusi zakat di Malaysia telah ditransformasikan iaitu diwujudkan institusi khas untuk memungut zakat dengan lebih profesional dengan cara penswastaan. Sejarah bermula dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan (1991), Lembaga Zakat Selangor (1994), Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (1994) dan lain-lain.

Mengapakah perlunya transformasi institusi zakat?


  • Melancarkan pentadbiran, kutipan dan agihan zakat
  • Memaksimumkan prestasi dan mengurangkan kos
  • Memantapkan pengurusan zakat
  • Membentuk imej baru institusi zakat
  • Mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat





P/S: Sebarang pembetulan ilmiah adalah dialu-alukan :)

No comments:

Post a Comment