Sunday, 1 December 2013

Pengharaman Shisha: Umat Masih Tidak Peduli

 Shisha merupakan panggilan dalam bahasa Arab atau di India lebih dikenali sebagai Hookah. Ianya biasa disediakan di tempat-tempat awam khususnya di kedai-kedai makan. Sudah menjadi ‘trend’ atau kebiasaan masyarakat awam di Malaysia menghisap shisha sama ada dari golongan muda mahupun golongan tua.

Walau bagaimanapun shisha telah difatwakan haram pada 17 Julai 2013 melalui Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan selepas meneliti bukti saintifik dan laporan perubatan , yang penggunaannya memudaratkan kesihatan pengguna. Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan asap shisha yang disedut dalam sejam bersamaan dengan menghisap 100 hingga 200 batang rokok. Sementara itu, kajian yang dilakukan oleh Royal University Arab Saudi menemui bahawa asap shisha 30 kali lebih pekat bahan kimia dan 200 kali lebih toksik berbanding asap rokok. Shisha juga menghasilkan karbon monoksida yang tinggi iaitu bersamaan sekali hembusan 52 batang rokok.

Dukacita apabila didapati fatwa pengharaman shisha ini seperti tidak memberi kesan kepada penjualannya di Negara kita ini. Sikap memandang remeh fatwa yang dikeluarkan disusuli dengan kurangnya pembanterasan pihak berkuasa menyebabkan penjualan dan perbuatan menghisap shisha masih berleluasa. Lebih menyedihkan lagi apabila penyedia perkhidmatan shisha dan pelanggannya terdiri daripada masyarakat Islam. Jika hendak bersangka baik mungkin mereka tidak tahu mengenai fatwa tersebut atau tidak mengambil berat mengenai hal ini. Marilah kita sama-sama renungi firman Allah:


“Dan infakkanlah (hartamu) ke jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah. Sungguh, Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik” (al-Baqarah 2:195)

         Perbuatan menghisap shisha mahupun rokok umpama membinasakan diri sendiri kerana membahayakan kesihatan malah mengganggu orang di sekeliling. Penulis juga mendapati perbelanjaan shisha dan rokok merupakan pembaziran kerana tiada manfaat yang boleh diperolehi. Wang itu boleh digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah atau mungkin ada teman-teman yang susah  lebih memerlukan bantuan kewangan. Ingatlah sahabat semua bahawa Allah melabel pembazir sebagai saudara syaitan, firman-Nya:

"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (al-Israa ayat 27)

Akhir kalam penulis ingin mengingatkan diri sendiri dan sahabat semua supaya kita sentiasa berusaha untuk menjauhkan diri daripada perkara haram dan merugikan diri sendiri. Marilah kita bersama-sama saling mengingatkan antara satu sama lain. Mari tinggalkan yang haram! =)


Laporan Akhbar Berita Harian 7 November 2013

No comments:

Post a Comment