Tuesday, 25 February 2014

Peranan JAKIM Dalam Menjalankan Hisbah

Assalamualaikum,

Semoga tulisan ini bermanfaat.

                                                                                                                                                     


Tajuk : Peranan JAKIM Dalam Menjalankan Hisbah
Oleh: Amri Bin Musfan
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia

Abstrak
Manusia sebagai hamba dan khalifah Allah dipertanggungjawabkan untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Namun manusia mempunyai kecenderungan untuk lalai dan lupa. Di dalam tradisi Islam, hisbah ialah instrumen khusus untuk memainkan peranan membetulkan kepincangan bagi memastikan kebenaran ditegakkan dan kemungkaran dicegah. Makalah ini bertujuan menerangkan konsep hisbah dan menganalisis sejarah pensyariatan hisbah dari zaman awal kerajaan Islam sehingga kini dan peranan JAKIM sebagai institusi hisbah di Malaysia. Hisbah merupakan institusi yang memainkan peranan penting dalam sistem pengawasan dalam Islam. Institusi hisbah merupakan bentuk pengawasan yang dijalankan berdasarkan keperluan dan siasah syari’ah. Malaysia secara umumnya mempunyai jabatan-jabatan kerajaan yang menjalankan peranan hisbah ini seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Biro Pengaduan Awam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), dan lain-lain. Walau pun perkataan hisbah tidak ditonjolkankan dalam jabatan-jabatan berkenaan namun inti pati dan fungsi hisbah dijalankan oleh jabatan-jabatan berkenaan. . Penulisan ini juga akan cuba membincangkan usaha yang telah dilakukan oleh JAKIM sebagai badan yang menjalankan fungsi hisbah.

Pengenalan
Allah ada menyebut di dalam al-Quran mengenai tugas manusia iaitu sebagai hamba dan juga sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi. Selain daripada itu, manusia juga diingatkan untuk menjalankan tugas amar ma’ruf wa nahi munkar (menyuruh membuat kebaikan dan menegah kemungkaran). Asas daripada suruhan ini maka terlahirlah pembentukkan institusi hisbah. Hisbah ialah sistem pengawasan dalam Islam yang telah wujud sejak zaman Rasulullah SAW. Pada zaman Rasulullah SAW, hisbah tidak wujud sebagai sebuah institusi tetapi ia adalah amalan untuk memelihara diri dalam mentaati perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
            Pelaksanaan hisbah terbina daripada seruan amar ma’ruf wa nahi munkar. Berdasarkan matlamat tersebut bidang hisbah boleh diaplikasi dalam konteks kehidupan yang amat luas iaitu dari segi politik,ekonomi dan sosial. Gambaran konteks yang meluas ini menunjukkan bahawa peranan hisbah meliputi hal kemasyarakatan yang membabitkan soal moral individu, masyarakat dan negara.

Definisi dan Konsep Hisbah
Dari segi bahasa hisbah berasal daripada perkataan bahasa arab iaitu “hasaba” yang bermaksud menghitung, mengira,menimbang ataupun menilai (Auni Haji Abdullah). Dari segi istilah pula al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan bahawa hisbah ialah tugas keagamaan iaitu menyeru kepada melakukan perkara ma’ruf dan menegah perkara munkar. Al-Ghazali dalam kitabnya yang mahsyur iaitu Ihya Ulumuddin menyebut bahawa hisbah satu gambaran yang lengkap dan menyeluruh tentang perintah melakukan ma’ruf dan mencegah munkar. Pandangan ini semua merupakan pandangan daripada ulama’ dan ilmuwan silam.
            Allah banyak menjelaskan tugas manusia dalam menjalankan amar ma’ruf wa nahi munkar  dalam al-Quran. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud:

”Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya” (Ali-Imraan 3:104)

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma`ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik” ( Ali-Imraan, 3:110)

Ibnu Katsir dalam tafsirnya menerangkan maksud “sebaik-baik manusia” dalam ayat di atas ialah seseorang yang suka melakukan perkara-perkara yang bermanfaat seperti suka melakukan amar ma’ruf wa nahi munkar dan beriman kepada Allah. (Mardzelah Makhsin)
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran, maka hendaklah ia berusaha mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan jika masih tidak mampu juga, maka dengan hatinya, dan yang demikian ini adalah selemah-lemah iman” (Hadith Riwayat Muslim)

“Demi Tuhan yang nyawa ku berada di tangan-Nya,hendaklah kamu melakukan al-amr bi al-makruf wa al-nahy ‘an al-munkar atau dengan segera Allah kirimkan seksaan dari sisi-Nya di atas kamu, kemudian kamu akan berdoa meminta kepada-Nya dan doa kamu tidak akan dimakbul-Nya.” (Hadis  Riwayat al-Tarmizi dan Ibn Majah)

Terdapat banyak lagi dalil daripada al-Qur’an dan hadis Rasulullah S.A.W yang menyentuh bab hisbah ini.

Sejarah Pengamalan Hisbah pada Zaman Awal Islam
Sejarah menunjukkan bahawa kewujudan institusi hisbah berjalan seiring dengan perkembangan agama Islam itu sendiri. Hal ini kerana Islam ialah satu agama yang menganjurkan manusia supaya melakukan menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran yang boleh merosakkan masyarakat. Amalan hisbah telah dibuktikan dengan jelas pada zaman Nabi S.A.W. Terdapat hadis-hadis yang menunjukkan perlakuan hisbah. Antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a:

“Bahawa Rasulullah SAW pada suatu ketika telah berjalan melalui satu longgokan makanan (di pasar), lalu baginda Rasulullah SAW telah memasukkan tangannya ke dalam longgokan tersebut, jari Baginda SAW tersentuh sesuatu yang basah lantas Rasulullah SAW bertanya kepada penjual itu: “Apakah semua ini?” Jawab penjual tersebut: Makanan ini terkena hujan. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kenapa engkau tidak meletakkannya di atas supaya dapat dilihat oleh orang ramai, baginda SAW menyambung lagi: Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalangan kami.” (At-Tirmizi)

Pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah melantik Said bin Al-‘As ibn ‘Umayyah untuk mengawasi kegiatan perniagaan di Kota Makkah selepas berlakunya peristiwa pembukaan kota ini oleh baginda. Uthman ibn Al-‘As telah dilantik bertugas di Taif, sementara Sayyidina ‘Umar ibn Al-Khattab telah diberi kepercayaan menyelia urusan perniagaan di Madinah (Auni bin Haji Abdullah)
Selepas kewafatan Nabi SAW tugas hisbah diteruskan lagi oleh para Khulafa ar-Rasyidin. Kebanyakan daripada mereka melakukan sendiri tugas hisbah ini, di samping melantik beberapa orang pembantu untuk melancarkan lagi perjalanan tugasan mereka. Diriwayatkan bahawa Saidina Umar r.a. telah melantik al-Sa’ib bin Yazid bersama-sama Abdullah bin Utbah sebagai penguasa pasar Madinah dan beliau juga telah melantik wanita sebagai pembantunya di mana Sayyidah al-Syifa dan Sayyidah Samra’ binti Nuhaik telah ditugaskan mengawasi pasar Madinah.
Pelaksanaan hisbah ini diteruskan lagi pada pemerintahan kerajaan Umayyah. Institusi hisbah menjadi terkenal pada zaman Khalifah al-Walid ibn ‘Abd al-Malik (86-96 Hijrah) yang tegas dalam menjalankan hisbah sehingga sanggup meronda di pasar-pasar sambil bertanya dan bertukar pandangan dengan penjual sayur mengenai harga-harga barang. Tradisi ini diteruskan lagi pada zaman Khalifah Hisyam ibn ‘Abd al-Malik (105-125 Hijrah), terdapat dua adik beradik, iaitu Daud dan ‘Isa ibn ‘Ali ibn ‘Abd Allah ibn ‘Abbas yang ditugaskan mengawal pasar-pasar di Iraq. Kepentingan institusi hisbah bertambah ketara pada akhir pemerintahan kerajaan ‘Umayyah iaitu perkataan ‘muhtasib’ mula diperkenalkan untuk menggantikan panggilan penyelia pasar.
. Pengasingan institusi ini dari institusi-institusi lain dalam kerajaan Islam dikatakan berlaku pada masa pemerintahan kerajaan Abbasiyyah tahun 157 Hijrah, di mana khalifah Abu Ja’far al-Mansur telah memberi ruang kepada penguasa hisbah (muhtasib) untuk mentadbir institusi ini secara penuh sambil dibantu oleh pembantu yang dikenali sebagai “arif” dan “amin”. Khalifah Abu Ja’far telah melantik Abu Zakariyyah Yahya bin Abdullah sebagai ketua para muhtasib pada ketika itu.(Auni Haji Abdullah)
Hisbah pada zaman awal Islam kelihatan ringkas dan tidak kompleks kerana pentadbiran kerajaan Islam pada ketika itu masih pada peringkat awal. Pada masa kini di negara kita khususnya terdapat beberapa institusi yang menjalankan fungsi amar ma’ruf wa nahi munkar walaupun tidak menggunakan nama hisbah tetapi mempunyai gelaran dan pendekatan tersendiri. Contohnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti pencegahan rasuah. Selain itu Pasukan Polis di Raja Malaysia (PDRM) misalnya berperanan untuk menguatkuasakan undang-undang dan memelihara keamanan serta kemakmuran negara. Tugas-tugas ini juga merupakan manifestasi kepada seruan amar ma’ruf wa nahi munkar. Institusi-institusi yang ditubuhkan ini menjalankan tugas secara berasingan dan jabatan yang berlainan. Organisasi yang menjalankan tugas tersebut juga lebih teratur dan bersistematik.

Peranan JAKIM sebagai Institusi Hisbah di Malaysia
Penulisan seterusnya memfokuskan perbincangan mengenai peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebuah organisasi kerajaan yang menjalankan fungsi hisbah.
            Sejarah awal penubuhan JAKIM bermula apabila dengan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada tahun 1968 yang mana penubuhannya dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja. Pada tahun 1974 pula, Urus Setia MKI telah dinaikkan tarafnya kepada sebuah Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri dan diberi nama Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS).
Selaras dengan perkembangan negara dan keperluan masyarakat Islam semasa, Bahagian Hal Ehwal Islam ( BAHEIS ) ini telah disusun semula. Maka pada 2 Oktober 1996, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju dengan perakuan supaya BAHEIS, Jabatan Perdana Menteri dinaikkan taraf menjadi sebuah Jabatan berkuatkuasa 1 Januari 1997 dengan nama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 Usaha JAKIM untuk Memastikan Barangan yang Dijual Menepati Syarak dan Halal.
Penglibatan JAKIM dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam dii negara ini bermula pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan halal kepada produk-produk yang memenuhi kehendak syarak. Pada 1 September 2002, kerajaan telah memutuskan bahawa semua urusan pengesahan halal dilaksanakan sepenuhnya oleh JAKIM melalui Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam yang mempunyai hanya 28 jawatan.

Dengan perkembangan pesat industri makanan di negara ini dan keperluan semasa umat Islam, maka pada 17 November 2005 Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia telah meluluskan sebanyak 165 perjawatan pelbagai skim dan gred dengan nama baru Bahagian Hub Halal. Pada 2 April 2008, pengurusan pensijilan halal diambil alih oleh Halal Industry Development Corporation.

 Logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM.
           
 Antara barangan yang perlu mendapatkan sijil halal JAKIM sebelum dibenarkan untuk dipasarkan ialah seperti produk makanan dan minuman, barangan gunaan harian (bukan makanan atau minuman seperti alat kosmetik), premis makanan iaitu bangunan dan kawasan tempat diuruskan perniagaan makanan dan minuman termasuk restoran, medan selera, dapur komersial, kafetaria, kedai kek dan pastri, restoran makanan segera, kantin, restoran, kelab/hotel, kiosk, katerer dan lain-lain. Selain itu pusat sembelihan juga perlu mendapatkan sijil halal JAKIM.
            Usaha pengeluaran sijil halal JAKIM ini bertujuan mengelakkan kekeliruan umat Islam di Malaysia dengan barangan yang ada di pasaran. Selain itu dapat meyakinkan pengguna Islam dan memelihara diri mereka daripada menggunakan barangan yang haram. Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman!Makanlah yang baik-baik daripada apa-apa yang telah Kami berikan kepadamu, serta bersyukurlah kepada Allah kalau betul-betul kamu berbakti kepada-Nya. Allah hanya mengharamkan kepadamu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah. Maka barang siapa dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka tidaklah berdosa baginya, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah 2: 172-173)
         
     JAKIM telah menjalankan satu tugas besar untuk umat Islam di Malaysia dengan menjalankan penyelidikan dan pendidikan bagi memastikan kelangsungan barangan dan makanan yang halal dapat dibekalkan di samping menyekat barangan atau makanan yang haram.

   JAKIM Berperanan Memelihara Kesucian Akidah Islam
Akidah atau iktikad bermula daripada kata akar bahasa Arab ‘aqada’ yang bermaksud ‘menyimpul’ atau ‘mengikat’. Akidah dalam istilah agama pula membawa maksud:

“Keyakinan yang putus (pasti) yang di atasnya manusia mengikat (menyimpulkan) hatinya tanpa ragu atau syak”. (Abdullah Yasin)
            
      Seseorang itu dipanggil mukmin apabila akidahnya benar-benar mengikut ajaran Rasulullah S.A.W iaitu mentauhidkan Allah dan mengakui Muhammad bin Abdullah sebagai utusan Allah. Tidak diterima ibadah seseorang jika akidahnya rosak. Kepentingan ini turut diberi perhatian oleh JAKIM dan badan tersebut telah menjalankan usaha-usaha dalam memastikan akidah umat Islam di Malaysia terjaga.
Ajaran sesat seperti Syiah,al-Arqam,Ajaran Ayah Pin, tareqat yang menyeleweng dan sebagainya telah cuba dibendung oleh pihak JAKIM dengan cara mengeluarkan fatwa, melaksanakan tindakan undang-undang, memberi pendidikan kepada masyarakat dan sebagainya. Berikut merupakan salah satu contoh fatwa yang telah dikeluarkan oleh JAKIM berkenaan ajaran sesat:

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-48 yang bersidang pada 3 Apr 2000 telah membincangkan Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani. Muzakarah telah memutuskan bahawa Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam. Pengamal ajaran ini hendaklah segera bertaubat.
Semua negeri dikehendaki memfatwa dan mewartakan bahawa tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim diharamkan dan tidak boleh diamalkan oleh umat Islam kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.” 

           Selain itu pertubuhan dakwah terbesar di Malaysia iaitu al-Arqam turut pernah dikenakan tindakan undang-undang setelah diharamkan atas sebab-sebab tertentu. Pemantauan yang berterusan juga sentiasa dijalankan oleh JAKIM supaya tiada usaha menghidupkan kembali ajaran ini. Berikut merupakan petikan akhbar bertarikh 15 Mei 2010 berkenaan hal ini:
            KUALA LUMPUR 14 Mei - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta umat Islam negara ini menjadikan kes pengharaman Al-Arqam sebagai peristiwa yang perlu dijadikan iktibar. Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (gambar) berkata, peristiwa itu sudah cukup memberikan tamparan hebat dalam usaha perkembangan dakwah Islam di negara ini.
"Banyak lagi cara dakwah yang boleh dipilih tetapi bukannya dengan menghidupkan semula Al-Arqam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Al-Arqam di negara ini sejak badan dakwah terbesar di negara ini itu diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994.

Semalam Ashaari Muhammad, 73, yang merupakan pengasas Al-Arqam meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Pakar Ipoh. Allahyarham yang mengasaskan Al-Arqam pada 1968 selamat dikebumikan di tempat kelahirannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pilin, Rembau, Negeri Sembilan, malam tadi.
Setelah Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 September 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.
Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, Wan Mohammad berkata, Jakim yakin tidak ada pihak yang cuba untuk menghidupkan semula pertubuhan itu.
"Janganlah cuba mengambil peluang untuk meneruskan aktiviti yang telah ditegah oleh jawatankuasa fatwa dan juga undang-undang negara,'' katanya. (Sumber:Utusan Online)
            Jika kita teliti laporan akhbar ini maka jelas bahawa JAKIM telah menjalankan amar ma’ruf wa nahi munkar iaitu menasihati masyarakat Malaysia agar tidak terjebak dengan ajaran sesat (amar ma’ruf) dan mengambil tindakan iaitu dengan penangkapan pengasas al-Arqam pada tahun 1994 serta memberi fatwa pengharamannya (nahi munkar).
            Tindakan yang sama juga dikenakan terhadap buku-buku atau penerbitan yang mengandungi isi yang menyeleweng daripada ajaran Islam seperti Aurad Muhammadiah, buku karangan Dr Rashad Khalifa seperti Al Quran The Ultimate Miracle, Quran, Hadith And Islam, Quran Versual Presentation Of The Miracle, Quran The Final Scripture dan pelbagai lagi bahan bacaan yang menyeleweng.


 JAKIM menjalankan usaha dakwah
Pengertian dakwah dari segi bahasa berasal dari perkataan Arab seperti da’a, yad’u, da’watan yang membawa maksud menyeru, memanggil, mengajak, menjamu, memandu dan menjemput. Manakala maksud dakwah dari segi istilah pula ialah bermaksud mendorong manusia untuk melakukan kebaikan, kebajikan dan petunjuk (amar ma’ruf).
JAKIM telah menjalankan tanggungjawab ini dengan adanya Bahagian Dakwah. Bahagian Dakwah telah ditubuhkan pada 1 Januari 1997. Dahulunya Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH), Bahagian Ugama Jabatan Perdana Menteri. INDAH ditubuhkan pada bulan Rabiul awwal, 1394 bersamaan pada bulan April, 1974. Penubuhannya adalah bagi memenuhi hasrat dan cita-cita umat Islam di negara ini yang ingin melihat wujudnya sebuah Institut Dakwah yang bertanggungjawab melaksanakan kegiatan dakwah pada peringkat pusat.
Penubuhan Institut Dakwah bermula dengan perlantikan Pengarah pada April 1974 dan tiga orang penolongnya pada bulan Jun 1974. Pada asas penubuhannya adalah untuk menghayati konsep dakwah Islamiah yang menjadikan Islam sebagai Ad-din dan mendokong cita-cita dakwah bagi mencapai rahmat Allah di dunia dan keredhaannya di akhirat.
Selaras dengan keperluan semasa, organisasi INDAH telah berkembang dengan proses pembesaran dari segi penambahan pegawai, aktiviti dan penubuhan Unit INDAH di Sabah dan Sarawak pada tahun 1977. Mulai 1 Mei, 1984 ditubuhkan Unit Pengurusan dan Penyelarasan Dakwah selaras dengan pembesaran organisasi Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
Menghadapi cabaran Wawasan 2020, INDAH kini telah memasuki fasa ke-2 dalam pelaksanaan program dengan menumpukan kepada aspek penghayatan dan pelaksanaan Islam oleh agensi kerajaan, swasta dan masyarakat di samping meneruskan program pengenalan dan kefahaman Islam. Hal ini menunjukkan peranan INDAH dalam menjalankan usaha dakwah dalam jabatan-jabatan kerajaan. Antara tugas lain Bahagian Dakwah ialah seperti yang tersenarai di dalam piagam pelanggannya:

·   Mengadakan kursus, seminar, muzakarah, taklimat dan bengkel untuk memberi kefahaman dan memantapkan penghayatan Islam kepada pegawai dan kakitangan kerajaan, swasta, IPTA/IPTS, belia/remaja masyarakat umum sebanyak 2 kali sebulan setiap kumpulan sasar
·  Mengadakan kursus, seminar dan bengkel untuk memberi kefahaman dan  memantapkan penghayatan Islam kepada Saudara Baru sebanyak 17 kali setahun  dan Masyarakat Orang Asli sebanyak 37 kali setahun
·   Memenuhi ceramah jemputan dan kelas pengajian Penerapan Nilai-Nilai Islam kepada pegawai dan kakitangan kerajaan, swasta dalam tempoh 1 minggu daripada tarikh permohonan diterima
·   Menyelesaikan kemusykilan agama melalui internet dan telefon setiap hari dan  menjawab surat-menyurat dalam tempoh 3 hari
·         Memastikan Program Ziarah dan Pengenalan Islam kepada Masyarakat Orang Asli dan lain-lain bangsa sebanyak 12 kali di 12 buah kampung serta mengadakan  program pemantapan dan susulan kepada masyarakat orang asli
·     Mengadakan lawatan Dakwah Bil Hal bagi memupuk persaudaraan di kalangan  Orang Kurang Upaya, warga tua, pesakit hospital dan anak yatim sebanyak 20 kali  setahun

Peranan JAKIM dalam Muamalat
Muamalat merujuk kepada hukum-hukum syariat yang bersangkut paut dengan urusan keduniaan seperti jual-beli, pinjam-meminjam, hutang, urus niaga, hal kewangan, sosial dan sebagainya. Secara umumnya muamalat merangkumi kehidupan seorang manusia.
            JAKIM selaku badan hisbah turut memantau, menyelidik dan memberi pendidikan kepada masyarakat Islam dalam hal-hal muamalat. JAKIM telah mewujudkan portal rasmi muamalat dan kewangan Islam (e-Muamalat). E-Muamalat merupakan portal yang dibangunkan khusus untuk memuatkan perbahasan fiqh muamalat sebagai rujukan  bagi umat Islam khususnya yang melibatkan penentuan hukum-hakam dalam bidang kewangan, kontrak, perniagaan dan sebagainya.bagi memudahkan umat Islam Malaysia merujuk fatwa, garis panduan dan artikel-artikel yang berkaitan.
            Selain itu, portal ini turut berperanan sebagai pangkalan data yang memuatkan maklumat dalam bentuk artikel, glosari, direktori, dan sebagainya di samping mengetengahkan isu-isu semasa dalam industri kewangan Islam di negara ini. Portal e-Muamalat turut menyediakan pautan ke laman web agensi-agensi yang terlibat secara langsung dengan industri kewangan Islam.  
            Contoh amar ma’ruf yang didapati di dalam portal ini ialah seperti wujudnya artikel-artikel serta jurnal yang disediakan untuk memberi pendidikan serta peringatan kepada masyarakat berkenaan hal-hal muamalat. Manakala tugas mencegah kemungkaran dapat dilihat dengan adanya senarai fatwa serta garis panduan bagi memastikan muamalat yang dijalankan tidak bertentangan dengan syariat Islam. Contoh fatwa muamalat:

Hukum Sistem Jualan Langsung (MLM)
“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 23 Jan 2006 telah membincangkan  Hukum Sistem Jualan Langsung (MLM) Menurut Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa konsep, struktur dan undang-undang perniagaan Multi Level Marketing (MLM) yang diluluskan Kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam”. 

            Usaha JAKIM dalam mewujudkan portal ini ialah bagi memudahkan masyarakat Islam Malaysia mendapatkan jawapan bagi isu-isu yang timbul berkenaan hal muamalat. Di samping dunia globalisasi yang semakin meluas dan kompleks menyebabkan banyak isu yang perlu dijawab secara ilmiah dan syar’ie lebih-lebih lagi yang melibatkan kewangan serta urus niaga.


Rumusan
Demikianlah sedikit sebanyak peranan JAKIM yang telah dibincangkan.Berdasarkan kerangka hisbah dan matlamat amar ma’ruf wa nahi munkar, JAKIM dapat dilihat  sebagai badan kerajaan yang berjaya menjalankan fungsi hisbah. Hasil penubuhan JAKIM ini secara umumnya dilihat berfungsi sebagai pemudah cara, penyelaras, pembimbing, pemberi panduan dan didikan, penguat kuasa serta pemberi fatwa untuk masyarakat Islam di Malaysia.
            Organisasi kerajaan seperti JAKIM ini perlu dikekalkan hingga ke masa hadapan agar kelangsungan umat Islam di Malaysia dalam mendapatkan perkhidmatan yang berkaitan dengan hal ehwal Islam dapat diteruskan. Tugas pengawasan juga perlu diteruskan oleh JAKIM. Peranannya bukan setakat mengawasi kesalahan luaran semata-mata bahkan melampaui kesalahan- kesalahan lain yang berkait dengan aspek kerohanian, akhlak, dan moral masyarakat Islam di Malaysia.

Bibliografi

Abdullah Yasin. (2012). Perangi Syirik. Grup Buku Karangkraf.
Auni bin Haji Abdullah. (2000). Hisbah dan Pentadbiran Negara.
Mardzelah Makhsin. (2008). Hisbah Sistem Pengawasan dan Etika Pengurusan Islam. Sintok: Universiti Utara Malaysia.
Zulfaqar bin Mamat. (2010). Institusi Hisbah dan Peranannya dalam Mengawal Kegiatan Ekonomi Negara Islam. Jurnal Muamalat, 131.
Mohamad Ezam Mohd Nor. (n.d.). Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan. Diakses pada 10 27, 2013, from http://dppwp.wordpress.com: http://dppwp.wordpress.com/usrah/penghayatan-prinsip-hisbah-dan-urus-tadbir-yang-baik-di-malaysia/
Portal Islam Grid. (n.d.). Diakses pada 11 17, 2013, from http://www.islamgrid.gov.my: http://www.islamgrid.gov.my/articles/muamalat/muamalat.php
Portal Rasmi Halal Malaysia. (n.d.). Diakses pada 11 16, 2013, from http://www.halal.gov.my: http://www.halal.gov.my/v3/
Portal Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. (n.d.). Diakses pada 11 16, 2013, from http://www.islam.gov.my/: http://www.islam.gov.my/piagam-pelanggan
Portal Rasmi Muamalat dan Kewangan Islam. (n.d.). Diakses pada 11 17, 2013, from http://www.islam.gov.my/muamalat: http://www.islam.gov.my/muamalat/pengenalan
Portal Rasmi Muamalat dan Kewangan Islam. (n.d.). Diakses pada 11 16, 2013, from http://www.islam.gov.my/muamalat: http://www.islam.gov.my/muamalat/keputusanmuzakarah/hukum-peraduan-sms-dan-menyertainya-menurut-pandangan-islam
Utusan Online. (2010, 5 15). Diakses pada 11 17, 2013, from http://www.utusan.com.my: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm



1 comment: