Monday, 8 September 2014

Nas-nas Sifat Allah serta Pandangan Ulama Salaf Mengenainya

Pengenalan
Kitab suci al-Quran merupakan wahyu daripada Allah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail yang menjadi panduan kepada umat manusia. Kitab suci ini merupakan mukjizat terbesar Rasulullah SAW yang menjadi hujah menghadapi kaum musyrikin dan memberikan manfaat kepada kaum muslimin. Firman Allah maksudnya:

“(Al-Quran) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) yang mengandungi keberkatan (faedah dan manfaat) bagi mereka yang ingin tadabbur (memahami) isi kandungan ayat-ayat-Nya dan diambil iktibar oleh orang-orang yang berfikir” (Surah Saad 38:29)

            Secara umumnya Allah menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab dan dengan bahasa yang mudah difahami oleh manusia sama ada yang beriman ataupun yang kufur. Sehingga ke hari ini al-Quran dibaca dan dikaji isi kandungannya oleh umat Islam dan bukan Islam malah ada di antara mereka yang menganut Islam setelah mengkaji al-Quran. Firman Allah maksudnya:“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran,maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)” (Surah al-Qamar 54:17)
            Selain daripada al-Quran, hadis Rasulullah SAW juga merupakan sumber rujukan bagi umat Islam. Hadis boleh ditakrifkan sebagai: apa yang disandarkan kepada Rasulullah SAW, sama ada perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat tubuh, sifat akhlak, sama ada sebelum diutuskan, atau selepas diutuskan.
            Kedua-dua sumber ini iaitu al-Quran dan hadis merupakan rujukan utama umat Islam di seluruh dunia. Namun terdapat nas-nas al-Quran dan hadis yang menyebut tentang sifat-sifat Allah atau lebih dikenali sebagai ayat mutasyabihat. Dalam perbincangan nas-nas sifat ini ulama Islam terbahagi kepada dua aliran iaitu salaf dan khalaf. Walau bagaimanapun, tulisan ini akan memfokuskan pandangan ulama salaf dalam berinteraksi dengan nas-nas sifat ini.

Definisi Salaf
Perbincangan seterusnya akan cuba menjelaskan mengenai takrifan yang jelas mengenai perkataan salaf, sumber terbitnya perkataan tersebut dan seterusnya mengenal pasti identiti beberapa tokoh ulama salaf.
Perkataan salaf dari segi bahasa membawa makna generasi terdahulu yang unggul dalam ilmu, iman, keutamaan dan kebaikan. Perkataan salaf ini juga disebut oleh Rasulullah SAW melalui hadis-hadis baginda antaranya:
Sabda Rasulullah SAW kepada Fatimah, “Sesungguhnya sebaik-baik salaf bagimu adalah aku” (Riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis mutawatir, Rasulullah SAW telah memuji dan mengiktiraf tiga generasi yang terbaik iaitu:
“Sebaik-baik manusia ialah orang yang hidup pada masaku, kemudian mereka yang datang berikutnya, kemudian orang-orang sesudah mereka. Kemudian akan datang beberapa kaum yang persaksian salah seorang dari mereka mendahului sumpahnya,dan sumpahnya mendahului persaksiannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

            Secara umumnya melalui dua hadis di atas dapatlah kita ketahui bahawa Rasulullah SAW memuji generasi salaf yang terdiri daripada sebaik-baik manusia. Tidak dinafikan wujudnya manusia yang jahat dan menyeleweng pada zaman salaf seperti Syiah, Khawarij, golongan murtad, dan golongan munafik. Oleh yang demikian generasi salaf yang disebut oleh Rasulullah SAW digelar sebagai Salafussoleh yang bermaksud golongan salaf yang soleh.
            Zaman salaf bermula sejak zaman Rasulullah SAW dan dikatakan berakhir sekitar tahun 300 hijrah. Antara ulama yang hidup pada zaman tersebut ialah seluruh para sahabat Rasulullah SAW yang mengikuti jalan baginda, kemudian golongan tabi’in seperti Sa’id bin Al-Musayyab (wafat 90 H), Al-Hasan Al-Bashri (wafat 110 H), Umar bin Abdul Aziz (wafat 101 H), Muhammad bin Syihab Az-Zuhri (wafat 125 H), golongan tabi’ut tabi’in seperti Malik bin Anas (wafat 179 H), Abu Hanifah An-Nu’man (wafat 150 H), Imam Al Auza’i (wafat 157 H), Sufyan bin Uyainah (wafat 193 H), golongan atba’ tabi’ut tabi’in seperti Abdullah bin Al-Mubarak (wafat 181 H), Imam Syafi’i (wafat 204 H), Waki’ bin Al-Jarrah (wafat 197 H), murid-murid atba’ tabi’ut tabi’in seperti Ahmad bin Hambal (wafat 241 H), Yahya bin Ma’in (wafat 233 H), Ibnu Rahawaih (wafat 238 H), kemudian murid-murid mereka seperti Al-Bukhari (wafat 256 H), Muslim (wafat 271 H), Abu Dawud (wafat 275 H), At-Tirmidzi (wafat 279) dan selain mereka. Senarai nama ulama-ulama ini hanyalah sebahagian di antara ulama-ulama salaf yang lain dan mereka semua hidup sebelum tahun ke-300 hijrah.
            Zaman khalaf pula ialah zaman selepas berlalunya zaman salaf. Ulama khalaf ialah ulama yang terkemudian yang sudah jauh jangka waktunya dari zaman Rasulullah SAW dan oleh kerana itu sudah agak berlainan cara berfikir dalam soal-soal hidup keagamaan. Walau bagaimanapun terdapat ulama dan ilmuan yang hidup pada zaman khalaf tetapi mengikuti pendirian dan pemahaman ulama salaf terutamanya dalam berinteraksi dengan nas-nas sifat seperti Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Mereka yang mengikuti pendirian dan pemahaman ulama salaf ini digelar ulama bermanhaj salaf.

Pengertian Nas-Nas Sifat
Al-Quran dan al-hadis merupakan rujukan umat manusia dan wajib diimani oleh setiap individu muslim. Kedua-dua sumber tersebut mengandungi nas-nas yang membincangkan tauhid, hukum-hukum syariat, kisah-kisah terdahulu dan sebagainya. Selain itu terdapat juga nas-nas yang membincangkan mengenai sifat-sifat Allah. Nas-nas seperti ini juga dikenali sebagai ayat-ayat mutasyabihat. Firman Allah dalam surah Ali Imran maksudnya:

“Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.” (Surah ali-'Imraan 3:7)

            Nas-nas al-Quran dan hadis yang mensifatkan Allah seperti mempunyai tangan, wajah, betis, berperasaan gembira, sifat melihat, sifat mendengar, turun ke langit dunia, dan sebagainya merupakan nas-nas yang tidak jelas kerana seolah-olah Allah mempunyai sifat seperti makhluk. Namun Allah menegaskan dalam al-Quran bahawa Dia tidak serupa dengan sesuatu pun, firman-Nya yang bermaksud:

"Dia (Allah) tidak menyerupai sesuatupun..(Surah asy-Syuuraa 42:11)
"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". (Surah al-Ikhlas 112:4)

Berdasarkan dalil di atas maka nas-nas sifat ini tergolong dalam ayat-ayat mutasyabihat yang tidak jelas, samar, dan tidak dapat difahami secara zahir.

Contoh Nas-Nas Sifat Dalam Al-Quran Dan Hadis
Nas-nas sifat banyak disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Antaranya ialah:
Firman Allah maksudnya:
           “Ar-Rahman(Allah) yang bersemayam di atas Arasy.” (Surah Toha 20:5)
Firman Allah maksudnya:
“Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan tangan-tangan Kami lalu mereka memilikinya?” (Surah Yaasin 36:71)
Firman Allah maksudnya:
“Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa: Dan akan kekallah wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.” (Surah Taha 20:26-27)

Daripada Anas bin Malik r.a, daripada Rasulullah SAW, sabda baginda:
“Sentiasalah neraka Jahanam dicampakkan penghuni ke dalamnya, lalu neraka itu berkata: Adakah masih ada tambahan? Sehinggalah Allah meletakkan kaki-Nya ke dalam neraka, lalu sebahagian penghuninya berkumpul dengan sebahagian yang lain dan neraka berkata: Cukup-cukuplah demi kemuliaan dan keagungan Engkau dan sentiasalah terdapat tempat yang lebih di dalam syurga sehingga Allah mewujudkan untuknya satu makhluk lain untuk menghuni tempat yang lebih itu.”  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:
“Allah gembira dengan taubat yang dilakukan oleh salah seorang daripada kamu berbanding dengan kegembiraan salah seorang daripada kamu kerana menemui kembali binatangnya yang hilang.” (Muttafaqun alaih)

Pandangan Ulama Salaf Terhadap Nas-Nas Sifat
Menurut Syeikh al-Qaradawi, generasi para sahabat Rasulullah SAW tidak pernah membahaskan mengenai nas-nas sifat pada zaman mereka walaupun ada dalam kalangan mereka yang dikurniakan usia yang panjang dan hidup puluhan tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW seperti Anas bin Malik yang dilaporkan sahabat paling akhir meninggal dunia.
            Secara umumnya ulama pada zaman salaf bersikap dan memilih untuk tidak mentakwilkan ayat-ayat sifat yang terkandung dalam al-Quran dan hadis. Haji Abdul Hadi Awang menyatakan sikap ulama generasi salaf dalam menghadapi nas-nas sifat ini. Ulama salaf beriman terhadap nas-nas sifat yang menyebut tentang mata, tangan, muka, bersemayam dan lain-lain lafaz. Mereka menyerahkan maksudnya kepada Allah (tafwidh). Hal ini dapat dilihat ketika Imam Malik ditanya mengenai makna istawa (bersemayam) dalam surah toha ayat 5:
“Ar-Rahman(Allah) yang bersemayam di atas Arasy.”
Imam Malik menyatakan menyoal mengenai maknanya (istawa) adalah bid’ah. Beliau juga menyatakan:
“Jauhilah diri daripada terlibat dengan perkara bid’ah. Beliau ditanya: Wahai Abu Abdillah apa itu bid’ah?. Jawab beliau: Ahli bid’ah ialah orang-orang yang berbicara tentang nama-nama, sifat, kalam, ilmu dan qudrat Allah dan tidak mendiamkan diri daripada berbicara tentangnya sebagaimana didiamkan diri oleh para sahabat dan tabi’in.”

Ahli hadis zaman ini iaitu Syeikh al-Albani membawa riwayat Abu Abdullah Al Hakim dalam kitabnya Mukhtasar Al’Uluw li ‘Aliyyil Ghaffar yang menyebut perkataan Imam Al Auza’i (wafat 157 H):
“Ketika para tabi’in masih banyak, kami berkata, “Sesungguhnya Allah Maha Mulia dan Maha Agung di atas Arasy-Nya dan kami beriman pada apa yang ada dalam sunnah tentang sifat-sifat-Nya”
Diriwayatkan oleh Abu Ishaq ats-Tsalabi ahli tafsir, dia berkata:
“Ditanyakan kepada Al Auza’i tentang firman Allah, “Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy” (al-A’raaf 7:43) Beliau menjawab, “Dia di atas Arasy-Nya sebagaimana Dia menyifati Dzat-Nya.”

Imam Al-Auza’i ialah seorang ulama tabi’ut tabi’in, menerima hadits dari golongan tabi’in dan mengasaskan mazhabnya sendiri. Mazhabnya diikuti oleh penduduk Syam dan Maghribi pada ketika itu sebelum beralih kepada mazhab Malik. Berdasarkan riwayat di atas kita dapat mengetahui pandangan Imam Al-Auza’i mengenai nas-nas sifat Allah bersemayam di atas Arasy. Beliau mengambil pendekatan untuk beriman dan menyerahkan makna sebenar ayat tersebut kepada Allah tanpa mempersoalkan kaifiat (cara) bersemayam Allah di atas Arasy-Nya.
            Imam Abu Yusuf memetik perkataan daripada Imam Abu Hanifah (wafat 150 H) seorang tabi’n yang menjelaskan tidak wajar kepada seseorang mengatakan tentang sesuatu yang berkaitan dengan zat Allah tetapi hendaklah menyifatkannya berdasarkan sifat yang disifatkan oleh Allah sendiri terhadap diri-Nya dan tidak sesekali menggunakan akal fikiran sendiri dalam menghadapinya. Kebanyakkan ulama salaf tidak suka membincangkan nas-nas sifat. Mereka beriman dan menyerahkan makna sifat itu kepada Allah tanpa mempersoalkan keadaan zahir ayat tersebut. Al-Khalal melaporkan dengan sanad yang sahih, Imam Ahmad (wafat 241 H) pernah ditanya perihal nas-nas sifat tuhan, beliau menjawab:
“Kita beriman dan mempercayainya tetapi tidak dalam cara dan makna tertentu.”

Syeikh al-Albani membawa riwayat Imam Adz-Zahabi dengan rangkaian sanad dari Amru bin Wahab dari Syadad bin Hakim yang meriwayatkan dari seorang ahli fekah Iraq Muhammad bin Hassan (wafat 189 H):
“Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia(dan hadis lain yang serupa). Kemudian dia berkata, “Sesungguhnya hadis-hadis ini telah diriwayatkan oleh orang-orang yang tsiqah (dipercayai), maka kami meriwayatkannya dan beriman kepadanya serta tidak mentafsirkannya.
Diriwayatkan oleh Hibatullah Al-Lalaka’i dan Ibnu Qudamah dengan sanad dari Abdullah bin Abi Hanifah Ad-Dabusi, dia berkata, “aku mendengar Muhammad bin Hassan berkata,”
“Berkenaan dengan masalah sifat, para ahli fekah mulai dari timur hingga barat sepakat mengimani apa yang ada di dalam al-Quran dan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh orang-orang tsiqah dari Rasulullah SAW, tanpa penggambaran dan tanpa penyerupaan (tasybih).
            Seterusnya kita akan meneliti perkataan ulama salaf Waki’ bin Jarrah (wafat 197 H) dan pengasas salah satu mazhab ahli sunnah iaitu Imam as-Syafi’i (wafat 204 H) mengenai nas-nas sifat. Diriwayatkan oleh Ahmad Ad-Dauraqi berkata, “Aku mendengar Waki’ mengatakan,:
“Kami menerima hadis-hadis ini sebagaimana datangnya. Kami tidak mengatakan bagaimana, begitu juga tidak mengapa demikian. Di Antara hadis-hadis tersebut adalah seperti hadis “ Dia membawa langit dengan satu jari”, dan “Hati anak Adam di antara dua jari (dari jari-jari) Allah yang Maha Pengasih.”
Diriwayatkan oleh Abul Hasan Al Hikari dan Al Hafiz Abu Muhammad Al Maqdisi bahawa Imam as-Syafi’i berkata:
“Sunnah yang aku anut –seperti yang dianut oleh Sufyan, Malik dan selain keduanya- adalah pengakuan dengan syahadat bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan bahawasanya Muhammad adalah utusan Allah, dan sesungguhnya Allah di atas Arasy-Nya di langit-Nya. Dia dekat dengan makhluk-Nya sebagaimana Dia kehendaki, dan turun ke langit dunia sebagaimana Dia kehendaki..”
            Melalui perkataan-perkataan ulama salaf di atas kita mendapati bahawa mereka beriman kepada nas-nas sifat tanpa mempersoalkan secara mendalam dan menyerahkan makna dan kaifiatnya kepada Allah (tafwidh) dan tanpa menyerupakan Allah dengan makhluk (tasybih). Mereka juga tidak menafsir dan melakukan takwilan terhadap nas-nas sifat tersebut. Mereka juga tidak mengatakan bahawa nas-nas sifat seperti tangan, betis, mata dan lain-lain yang disandarkan kepada Allah sama seperti tangan, betis, dan mata yang ada pada makhluk.
            Walaupun majoriti ulama salaf tidak melakukan takwilan pada nas-nas sifat namun dalam kalangan salaf terdapat juga ulama yang melakukan takwilan sekalipun yang melakukan takwilan itu sedikit berbanding mereka yang melakukan tafwidh. Perkara ini dapat diperhatikan apabila Ibnu Abbas (wafat 68 H) melakukan takwilan terhadap ayat ini:
“Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu, tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakana itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurnia-Nya luas melimpah-limpah)..” (Surah al-Maidah:64)


Ibnu Abbas menyatakan orang-orang Yahudi tidak menyatakan tangan Allah terikat, tetapi mereka menyatakan Allah itu bakhil dan kedekut untuk mengeluarkan apa yang ada pada tangan-Nya. Maha suci Allah daripada mereka perkatakan. Menurut riwayat Ibnu Ishaq, al-Tabarani dan Ibnu Mardawih daripada Ibnu Abbas r.a, ayat di atas diturunkan kepada seorang lelaki Yahudi bernama al-Nabbay bin Qais yang berkata kepada Rasulullah SAW, kata Yahudi tersebut “Tuhan tuan bakhil dan tidak suka berbelanja.” Takwilan yang dilakukan oleh Ibnu Abbas r.a ini berlaku berdasarkan asbab nuzul (sebab-sebab turunnya) ayat al-Quran tersebut.
            Terdapat kesepakatan antara golongan salaf mahupun khalaf untuk melakukan takwilan pada sebahagian daripada nas-nas sifat yang perlu ditakwil secara baik melalui kaca mata akli mahupun naqli. Contoh ini dapat dilihat pada nas-nas seperti ini:
“…Mereka telah melupakan Allah dan Allah juga melupakan mereka..” (Surah at-Taubah 8:67)
“…dan tiadalah Tuhanmu itu lupa.(Surah Maryam 19:64)
Mereka mentakwilkan istilah lupa yang disandarkan kepada Allah dengan makna meninggalkan dan berpaling iaitu tidak menghiraukan. Sifat lupa merupakan sifat kekurangan yang wajib dibersihkan daripada disandarkan kepada Allah kerana Dia mempunyai segala kesempurnaan dan Maha Suci Allah daripada sifat-sifat kekurangan.

Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dalam tulisan ini dapatlah kita simpulkan bahawa majoriti ulama yang hidup pada zaman salaf lebih cenderung untuk tidak melakukan takwilan dalam berinteraksi dengan nas-nas sifat sebaliknya memilih untuk menyerahkan makna sebenar ayat sifat tersebut kepada Allah (tafwidh) tanpa membicarakan caranya secara mendalam. Mereka juga tidak pula menyamakan sifat Allah dengan makhluk (tasybih). Tidak dinafikan terdapat juga golongan salaf yang melakukan takwilan pada sesetengah nas yang bersifat kritikal dan memerlukan takwilan. Tindakan takwilan mereka adalah bertujuan untuk menyucikan Allah daripada segala sifat-sifat kekurangan dan kelemahan (tanzih).
            Kecenderungan untuk memilih pandangan ulama salaf dalam isu berhubung nas-nas sifat adalah berdasarkan tiga faktor utama. Faktor yang pertama ialah kekurangan akal manusia yang terbatas dalam memahami nas-nas sifat iaitu akal manusia tidak mampu mengenal hakikat sifat Allah dan zat-Nya. Faktor yang kedua ialah takwilan tidak selamat daripada kesalahan dan boleh mengubah maksud asal yang dikehendaki oleh Allah. Faktor yang terakhir ialah kesepakatan ulama salaf lebih selamat kerana kelebihan mereka yang disebut melalui hadis Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik manusia ialah orang yang hidup pada masaku, kemudian mereka yang datang berikutnya, kemudian orang-orang sesudah mereka. Kemudian akan datang beberapa kaum yang persaksian salah seorang dari mereka mendahului sumpahnya,dan sumpahnya mendahului persaksiannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
            Perbincangan mengenai nas-nas sifat haruslah didasari dengan ilmu dan adab sopan. Malangnya sesetengah pihak dan penuntut ilmu mudah mengkafirkan saudaranya sendiri hanya kerana perbezaan pendapat dalam isu nas-nas sifat ini. Perkara seperti ini perlulah dijauhi kerana ianya akan menyebabkan perpecahan dalam umat Islam. Kita seharusnya mencontohi ulama salaf yang tidak terlalu membahaskan nas-nas sifat dan berlepas diri daripadanya jika tiada keperluan. Wallahua’lam.

Bibliografi
Al-Quran Dan Terjemahan (Rasm Uthmani). Pustaka Darul Iman
Abdul Hadi Awang. 1992. Beriman Kepada Allah. Kuala Lumpur. GG Edar
Aboebakar Atjeh. 1970. Salaf (Salaf As-Shalih) Islam Dalam Masa Murni. Jakarta. Permata
Basri bin Ibrahim. 2011. Kupasan Mengenai Ayat-Ayat Dan Hadis Sifat, Wali, Menziarahi Kubur Dan Tawassul Oleh Al-Qardhawi. Selangor. Al-Hidayah Publication
Mohd Asri bin Zainul Abidin. 2005. Selangkah Ke Arah Memahami Al-Sunnah. Selangor. Karya Bestari
Muhammad Nashiruddin Al-Albani. 2002. Edisi Indonesia Mukhtasar Al-‘Uluw: Studi Tauhid Menurut Ahlus-Sunnah Wal Jamaah. Jakarta. Pustaka Azzam
Rabi bin Hadi Al-Madkhali, Biografi Ahlul Hadits, Para Sahabat, Tabi’in Dan Tabiut Tabi’in Beserta Keluarga Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم,http://ahlulhadist.wordpress.com/: diakses pada 28/2/2014







2 comments:

  1. salam..apa pandangan saudara , sy mengajar subjek tauhid berkenaan sifat wajib bagi allah.. apa cara terbaik untuk pejar faham..takut jugak klu tersilap terangkan

    ReplyDelete